Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Isnin, 29 Januari 2024

Selawat Tafrijiyah

Asal usul Selawat Tafrijiyah

Untuk pengetahuan semua Selawat Tafrijiyah ini adalah hasil dari nukilan tulisan Al-Imam Qurtubi.Selawat ini diamalkan oleh sebahagian para ulama.

Selawat Tafrijiyah juga turut dikenali dengan nama panggilan lain iaitu Selawat Nariyah, Selawat Kamilah dan Selawat Taziyyah yang membawa maksud sempurna atau terbuka sehingga menjadi lapang. Zikir ini diamalkan oleh seseorang untuk menghilangkan kesempitan dengan izin Allah S.W.T.

Maksudnya : “Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengan rahmatnya itu semoga terurai segala simpulan,

terhapus segala kesusahan, tertunai segala hajat, tercapai segala keinginan dan kesudahan umur yang baik (mati dalam keimanan) serta dicurahi hujan rahmat dengan berkat peribadinya yang mulia.

Rahmatilah ahli keluarga dan para sahabatnya dalam setiap kerlipan mata dan tarikan nafas sebanyak jumlah pengetahuan Mu.”


Fadhilat Selawat Tafrijiyah

Berikut adalah beberapa kelebihannya :

1.  Allah akan melenyapkan
     kesedihan, kesulitan serta bahaya
     yang menimpa dirinya.

2.  Allah akan memudahkan segala
     urusan hidupnya.

3.  Dipancarkan nur ( cahaya ) dalam
     hatinya juga ditinggikan
     martabatnya.

4.  Suaranya didengari serta
     pandangan dan pendapatnya
     diterima ramai.

5.  Dia dilindumgi daripada segala
     bencana dan malapetaka.

6.  Dia sentiasa dicintai oleh semua
     orang.

7.  Segala yang dihajati akan
     dimakbulkan Allah.

8.  Dimurahkan rezekinya, dijauhkan
      daripada kelaparan dan
      kemiskinan.


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat Nya berselawat ( memberi segala penghormatan dan kebaikan ) kepada Nabi ( Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” – ( Surah al-Ahzab, ayat 56 )

Isnin, 18 Disember 2023

Doa Nabi Musa ( Pekerjaan Dan Jodoh )

 


 
Rabbi, inni lima anzalta ilayya min khairin faqir.
  
  Ertinya:

“Ya Tuhanku, sungguh aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Surah Al-Qisas (Ayat 24)

Jumaat, 20 Mei 2022

Istidraj

Apakah dia istidraj itu?


Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya dan kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku sebagai wakil Tuhan dengan mengemukakan berbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya.

Al Istidraj mempunyai beberapa nama atau istilah yang berbagai:

1. Adakalanya seseorang dikabulkan segala permintaannya agar ia makin bertambah ingkar dan sesat, tetapi pada akhirnya ia akan dimatikan dalam keadaan kafir.
Hal itu seperti yang disebutkan dalam firman Allah: “Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui”. (Al-Qalam :44)

2. Makar:
Dalam Al Qur’an disebutkan: “Maka tidak ada yang terhindar dari tipu daya Allah kecuali orang yang rugi”. (Al-‘Araf: 99)

Allah berfirman: “Dan mereka berbuat tipu daya, maka Allah membalas mereka dengan tipu daya yang serupa dan Dia sebaik-baik yang membuat balasan” (Ali ‘Imran: 54)

3. Al Kaid artinya tipu daya:
Dalam firman Allah disebutkan: “Mereka berusaha menipu Allah, padahal Allah yang menipu mereka” (An-Nisaa’:142)
Allah berfirman: “Mereka akan menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri, tetapi mereka tidak merasakannya”. (Al-Baqarah: 9)

4. Imla’ mempunyai arti memberi tangguh:
Firman Allah: “Dan janganlah orang-orang kafir itu mengira bahawa pemberian tangguh bagi mereka itu memberi kebaikan bagi mereka, tetapi hal itu terjadi agar mereka makin bertambah dosa-dosanya” (Ali ‘Imran: 178)

5. Al Ihlak mempunyai arti kebinasaan:
Allah berfirman: “Sampai ketika mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, maka Kami siksa mereka dengan cara yang mendadak” (Al-‘Anaam: 44)
Allah berfirman: “Firaun dan bala tentaranya menyombongkan diri di permukaan bumi tanpa alasan yang dibenarkan, dan mereka mengira bahwa mereka tidak akan kembali kepada Kami, maka Kami menyiksanya dan bala tentaranya, kemudian Kami menenggelamkan mereka di dalam laut” (Al-Qisas: 33)

Rasullulah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!

Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.

Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Jumaat, 25 Jun 2021

Hari yang sunat, makruh dan haram berpuasa



Puasa Isnin dan Khamis
Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa” (Hadis Tarmizi).

Puasa tiga hari setiap bulan
Ini mungkin senang sikit nak diamalkan. Tak kisah hari apa atau tarikh bila. Dalam sebulan ada 30 hari. Ambil tiga hari sahaja untuk berpuasa. Maknanya ada 27 hari lagi untuk makan-makan. Tapi yang afdalnya pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah. Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh. Jadi cahaya bulan menerangi. Itu pasal nama ‘Hari Putih’

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga belas, empat belas dan lima belas” (Riwayat Tirmizi)

Puasa hari ini, esok tak puasa
Lusa puasa semula, tulat tak puasa. Ini maknanya puasa sehari, tak puasa sehari. Selang seli antara keduanya. Ini juga termasuk puasa sunat yang afdal.

Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya “Seafdal-afdal ialah fesyen puasa Nabi Daud. Adalah Nabi Daud berpuasa sehari dan berbuka puasa sehari” (Riwayat Bukhari)

Puasa pada hari Arafah
Bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Hari Arafah ini ialah Sembilan Zulhijjah. Puasa pada hari tersebut  besar fadilatnya. Rugi jikalau puasa hari Arafah ditinggalkan.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)


Hari kelapan Zulhijjah
Amat elok berpuasa pada hari kelapan Zulhijjah  iaitu maknanya dua hari berturut-turut. Ini kerana ada keazaman Nabi s.a.w untuk berpuasa pada sembilan Zulhijjah.


Puasa pada bulan-bulan ‘Haram’ iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah

Tidaklah puasa empat bulan penuh tetapi maksudnya memperbanyakkan puasa pada bulan-bulan ini.

Sabda Nabi s.a.w  maksudnya:  “… dan seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah iaitu bulan Muharram” (Riwayat Muslim)

Puasa bulan Syaaban
Ini juga besar fadilatnya. Nabi s.a.w memang selalu berpuasa bulan Syaaban sebagaimana yang diceritakan oleh isterinya Aishah r.ha. (Riwayat Bukhari)

Puasa ‘Asyura
Puasa ‘Asyura ini dilakukan pada hari kesepuluh dari bulan Muharram dan lebih baik jika ditambahkan pada hari kesembilan.

‘Asyura berasal perkataan Arab iaitu ‘Asyarah yang bermakna sepuluh.

Hari-hari yang dimakruhkan untuk berpuasa dalam Islam adalah seperti berikut:
  • Puasa pada hari ‘Arafah bagi orang yang mengerjakan haji.
  • Puasa pada hari Sabtu sahaja (ditunggalkan).
  •  Puasa pada hari Jumaat sahaja (ditunggalkan).
  • Puasa sepanjang tahun (sepanjang masa).

Hari haram berpuasa sunat
  • Puasa pada Hari Raya Aidilfitri iaitu pada satu Syawal
  • Hari Raya Aidiladha iaitu pada sepuluh Zulhijjah
  • Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah
  • Hari wanita sedang uzur syari’I iaitu kedatangan
  • Puasa sunat seorang isteri tanpa izin suaminya
  • Puasa pada separuh kedua daripada bulan Syaaban.

Isnin, 24 Mei 2021

Perjalanan Mencari Cintamu

Ya Allah….

Aku rindu untuk bercinta dgnMu Ya Allah….

Tapi kenapa aku selalu alpa dari mengingatimu….

Selalu juga aku menangis di saat mengingati kealpaanku,

Namun selepas itu masih jua aku melupakanMu,


Ya Allah,

Aku malu untuk menghadapMu….

Aku sedih yang teramat,

Kerana setiap kali aku melupakanMu,

Kau masih tetap memimpinku dan mencintai hambaMu yang lemah ini....


Ya Rahman….

Terlalu banyak kau beri dugaan kepada ku,

Namun setiap kali juga Kau akan sediakan ketabahan buatku….

Hikmah yang kau berikan melebihi dugaan yang kau beri…

Aku malu Ya Allah....

Kerana fitrahku menangis saat menghadapi dugaanMu yang sedikit itu....

Sedangkan aku tahu Kau sentiasa memberi yang terbaik buatku.


Ya Rahim….

Tidak terungkap terima kasihku padaMu,

Kerana terlalu banyak nikmatMu padaku....

Namun terlalu sedikit ku bersyukur Ya Allah....

Kau selalu ada saat hatiku menangis kesedihan kerana sendirian....

Kau tetap ada menemaniku dan memujukku

dengan kitab suci AL-QURAN….


Ya Allah….

Syukurku kepadaMu kerana telah kau sedarkan aku....

Untuk kembali ke jalan yang lurus kau sediakan….

Janganlah kau pesongkan aku lagi Ya Allah....

Jika kau ambil nyawaku yang juga milikMu ini,

Ambil di saat aku mengingatimu dan dalam keimanan....

Jangan biarkan aku alpa dalam rimba dunia ini Ya Allah....

Jangan biarkan aku alpa terhadapMu....

Kerana aku tahu cintaMu yang abadi selamanya....

Dan aku ingin untuk bercinta denganMu….

Selasa, 3 Disember 2019

Nabi Idris

Nama sebenarnya ialah Khanukh bin Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s. dan merupakan keturunan keenam daripada Nabi Adam a.s. Menurut Abdullah Bin Abbas, Nabi Idris mempunyai paras rupa yang menarik, susuk tubuh yang tegap, tinggi, berjanggut lebat dan bersifat pendiam.

Beliau digelar Idris kerana diambil dari perkataan Arab, iaitu  درس, iaitu belajar. Nabi Idris a.s disifatkan sebagai seorang yang suka belajar. Beliau mendalami ilmu agama sejak kecil. Beliau mempunyai 100 buah suhuf dan 4 buah kitab. Beliau telah membaca suhuf daripada Nabi Adam dan Syeets, masing-masing dikatakan sebanyak 10 dan 50 buah. Menurut riwayat lain beliau telah diajar oleh Malaikat Jibril sebanyak 30 sahifah. Pelajaran yang diterima adalah berkenaan dengan hukum-hakam daripada Allah S.W.T.

Beliau dilahirkan setelah 1000 tahun Nabi Adam a.s wafat dan semasa kelahiran beliau banyak kota telah membangun. Beliau dikatakan hidup hampir 345 tahun atau 380 tahun ia adalah berdasarkan riwayat yang bersanadkan oleh Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami.Namun, tiada riwayat yang sahih mengenai tarikh, tempat lahir dan kewafatan beliau.

Nabi Idris a.s dianugerahi kepandaian dalam berbagai disiplin ilmu, kemahiran serta kemampuan mencipta peralatan bagi memudahkan pekerjaan manusia seperti pengenalan tulisan, matematik, astronomi, ilmu haiwan, menunggang kuda, menjahit pakaian dan sebagainya. Nabi Idris merupakan manusia pertama yang dapat menulis dengan kalam ( alat tulis yang diperbuat daripada buluh ).

Nabi Idris a.s diutuskan oleh Allah S.W.T bagi mengingatkan umat keturunan Qabil yang telah bersikap derhaka. Nabi Idris a.s diberi gelaran "Asadul Usud" yang bermaksud Harimau segala Harimau kerana berani memerangi manusia yang derhaka kepada Allah S.W.T.  Allah S.W.T telah menurunkan kemarau kepada umat Nabi Idris sebagai balasan keingkaran mereka.


Allah s.w.t berfirman :

"Dan ceritakanlah ( Hai Muhammad kepada mereka kisah ) Idris ( yang tersebut ) di dalam Al-Qur'an. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang rasul. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi."
( QS. Maryam: 56-57 )

Kita tidak mengetahui bila Nabi Idris hidup dan kepada kaum siapa dia diutus dan bagaimana Allah s.w.t mengangkat darjatnya pada kedudukan yang tinggi.
Menurut dongeng kuno disebutkan bahawa Nabi Idris adalah Uzairis, salah seorang pahlawan Mesir kuno. Beliau dianggap sebagai Tuhan berhala. Izis, isterinya memainkan peranan penting dalam mengembalikannya pada kehidupan. Kami tidak memiliki suatu sumber yang otentik yang dapat kami percaya untuk meneguhkan pendapat seputar Nabi Idris.

Barangkali Idris adalah seorang Nabi yang dermawan dan mulia dan diutus di Mesir, lalu Allah s.w.t mengangkatnya di sisi-Nya seperti Nabi Isa Ibnu Maryam. Ketika beliau diangkat, terjadilah berbagai macam isu dan fitnah seputar beliau dan kemudian beliau dijadikan sebagai Tuhan. Dan barangkali ada versi lain seputar kisah itu.

Yang jelas Al-Qur'an al-Karim tidak menyingkap kesamaran yang berhubungan dengan Nabi Idris. Yang kami ketahui hanya bahawa beliau adalah seorang yang jujur, yang dipercayai, dan seorang Nabi. Allah s.w.t mengangkatnya ke darjat yang tinggi di sisi-Nya. ?


Nabi Idris a.s Bersama Malaikat Izrail

Suatu ketika Nabi Idris a.s telah dikunjungi oleh Malaikat Izrail dan bertanya Nabi Idris a.s katanya : "Hai malaikat Izrail, engkau datang ini untuk mencabut nyawa atau untuk menziarah?." 

Kata Malaikat Izrail aku datang untuk menziarah dengan izin Allah. 

Kata Nabi Idris kepada Malaikat Izrail : "Hai Malaikat Izrail, saya ada keperluan dan kepentingan kepadamu?" 

Kata Malaikat Izrail "Kepentingan apa itu?" 

Jawab Nabi Idris "Kepentingan denganmu iaitu supaya engkau mencabut nyawaku dan kemudian Allah menghidupkan kembali sehingga aku dapat beribadah kepada Allah setelah aku merasakan sakaratulmaut".

 Kata Malaikat Izrail sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang melainkan mendapat izin Allah. 

Maka Allah memberi wahyu kepada kepada Malaikat Izrail agar dia mencabut nyawa Nabi Idris, maka seketika itu Malaikat Izrail mencabut nyawa Nabi Idris a.s. Maka Malaikat Izrail menangis atas kematian Nabi Idris sambil memohon kepada Allah agar Allah menghidupkan kembali Nabi Idris a.s.

Kemudian Allah mengabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka Nabi Idris hidup kembali.

Malaikat Izrail bertanya kepada Nabi Idris as. "Hai saudaraku, bagaimana rasanya sakaratulmaut itu?.

Kata Nabi Idris a.s "Sesungguhnya rasa sakaratulmaut itu saya umpamakan binatang yang hidup itu dilapah kulitnya
( dibuang kulitnya semasa hidup-hidup ) dan begitulah rasanya sakaratulmaut bahkan lebih seribu kali sakit."

Kata Malaikat Maut: "Secara halus dan berhati-hati aku mencabut nyawa yang seperti itu selama-lamanya." 

Kemudian Nabi Idris a.s berkata lagi pada Malaikat Maut: "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengan engkau iaitu saya ingin melihat Neraka Jahanam sehingga saya boleh beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setelah melihat belenggu, rantai-rantai dan kala jengking yang menyengat orang-orang yang ada di Neraka Jahanam." 

Kata Malaikat Maut "Bagaimana saya boleh pergi ke Neraka Jahanam tanpa izin Allah".

Maka Allah memberi wahyu kepada Malaikat Maut dengan firman: "Pergilah engkau ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris a.s". 

Malaikat Maut pun pergi ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris kemudian Idris melihat segala macam seksaan yang diciptakan Allah untuk musuh-musuh-Nya yang berupa belenggu, rantai-rantai daripada neraka dan kala jengking serta ular dengan api-api yang menyala dan kayu zakum dan air yang sangat panas untuk di minum oleh ahli neraka tersebut. 

Setelah kembali Nabi Idris berkata lagi kepada Malaikat Maut. "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengamu iaitu saya ingin melihat syurga sehingga saya boleh tambah meningkatkan amal ibadah".

Maka Malaikat Maut berkata "Bagaimana boleh saya bersamamu ke dalam syurga tanpa izin Allah." 

Maka Allah memberi izin pada Malaikat Maut untuk pergi berdua dan berhenti dekat pintu syurga.

Maka Nabi Idris melihat di dalamnya nampak bermacam-macam nikmat dan istana besar lagi indah dan beberapa anugerah yang berharga, juga tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang beraneka warna dan rasanya berbeza-beza.

Nabi Idris berkata "Hai saudaraku, saya telah merasakan sakitnya sakaratulmaut, saya telah melihat Neraka Jahanam yang di dalamnya bermacam-macam rupa seksaan dan azab neraka maka mohonlah engkau kepada Allah agar Allah mengizinkan saya untuk masuk syurga dan minum airnya agar hilang rasa sakitnya sakaratulmaut di tenggkorakku ini dan juga terhindar daripada seksaan Neraka Jahanam.

Maka Malaikat Izrail minta izin kepada Allah lalu mengizinkannya, kemudian masuklah meraka berdua ke alam syurga lalu keluar. Kemudian Nabi Idris masuk lagi ke dalam syurga dan meletakkan seliparnya di bawah pokok kayu di dalam syurga. 

Maka Nabi Idris berkata kepada Malaikat Izrail "Hai Malaikat Maut, selipar saya tertinggal di dalam syurga di bawah pokok kayu, maka kembalikanlah saya ke dalam syurga," maka Nabi Idris masuk ke syurga dan tidak mahu keluar lagi dari syurga. 

Maka berteriaklah Malaikat Izrail memanggil Nabi Idris agar keluar dari syurga. "Hai Idris, keluarlah engkau dari syurga." 

Maka Nabi Idris pun tidak mahu keluar. Allah s.w.t telah berfirman "Tiap-tiap orang mesti merasakan sakaratul maut, sedang saya sudah merasakan sakaratulmaut.

Dan Allah s.w.t berfirman lagi maksudnya: "Tidak ada diantara kamu sekelian kecuali mereka itu memasuki ( neraka/syurga ) sedang aku pernah memasuki neraka dan Allah pun juga berfirman lagi maksudnya: "Dan tidaklah mereka itu dikeluarkannya".
( keluar daripada syurga ).

"Siapakah yang mengeluarkan saya dari syurga" sedangkan Allah telah memberi wahyu kepada malaikat Maut. 

"Tinggalkanlah dia ( Nabi Idris ) sesungguhnya Aku telah memutuskan dia di zaman azali dahulu bahawa sesungguhnya dia ( Nabi Idris ) tergolong ahli dan penghuni syurga."

Dan Allah telah berfirman kepada rasul-rasul-Nya tentang kisah Nabi Idris dalam firman-Nya yang bermaksud. "Dan ingatlah olehmu cerita-cerita dalam kitab Nabi Idris a.s dan seterusnya."


Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah :

1) Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.

2) Orang yang bahagia, ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.

3) Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu, demikian pula puasa dan solatmu.

4) Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5) Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah S.W.T

6) Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya itu.

7) Barangsiapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.

8) Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya, seseorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya.


Kesimpulan

Dalam usaha kita untuk menjadi umat Islam yang terbaik dan bijaksana yang boleh memimpin dengan ilmu, kita perlu mencontohi peribadi Nabi Idris a.s yang sangat suka belajar. Beliau akan sentiasa berusaha untuk memahami ilmu Allah tanpa perasaan penat lelah sehingga dikurniakan ilmu yang mendalam mengenai bintang dan matematik.

Hal ini juga membuktikan bahawa penguasaan ilmu itu berlaku sejak lama dahulu. Ia bukan budaya sesetengah bangsa sahaja malah satu perkara yang bersifat fitrah bagi setiap manusia. Kita memerlukan ilmu pengetahuan untuk terus berkembang dan melalui kehidupan dengan lebih baik.

Isnin, 2 Disember 2019

Istighfar Munajat Taubat

Hari ini satu pertanyaan buat diri kita...? Bolehkah anda mengatakan yang anda tidak berbuat dosa pada hari ini ? Benarkah tiada dosa?

Ya Allah, kita bukan Maksum. Walaupun anda mungkin tidak berbuat dosa pada manusia, tidak melakukan kesalahan, sebaliknya adakah anda yakin yang anda tidak pernah menganayai haiwan.Mungkin ketika anda sedang berjalan di sebatang jalan lalu tanpa disedari anda telah terpijak semut.Walaupun ia hanya dosa kecil, disebabkan anda tidak menyedari kehadiran semut tersebut, namun ia tetap dikira berdosa dan oleh kerana itu kita perlu bertaubat memohon agar dosa itu diampunkan dan bermaafan sesama kita.

Seandainya kita mudah untuk memberi kemaafan kepada orang lain, insyallah Allah dengan mudah memaafkan kita.


Memperbanyakkan istighfar.

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w. : "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." 
( Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas RA. )

" Dan Allah tidak akan sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau ( wahai Muhammad ) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar ( memohon ampun )."
( Anfal : 33 )

"Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya".
 ( Riwayat Al-Imam Abi Daud )

Hebatnya kekuatan istighfar itu sebagai munajat taubat dan banyak kelebihan bagi orang yang sering beristighfar. Justeru, digalakkan kita sentiasa beristighfar sebagai pendekatan secara lisan untuk memohon keampunan daripada Allah, kemudian diikuti dengan amalan soleh. Semoga Allah mengampunkan saya dan anda semua. Saya  ingin berkongsi dengan anda zikir taubat Astaghfirullah Rabbal Baraya.


Zikir Taubat Nasuha beserta maksud :

Astaghfirullah Rabbal Barroya
( Ampunilah Hamba Ya Allah Maha Penerima Taubat )
Astaghfirullah Minal khotoya.
( Ampunilah Hamba Ya Allah Daripada Segala Dosa ) ( 4X )

Rabbi zidni 'ilman naa fi'a
( Tambahkan kepadaku ilmu yang 
   berguna )

Wa wa fiqni 'amalam maqbula
( Dan berikanlah aku amalan yang dimakbulkan )
Wa Wa habli rizqan waasi'a
( Dan kurniakan kepadaku rezeki yang meluas )
Wa tub 'alaia taubatan nasuha ( 2X )
( Dan perkenankan taubatku dengan taubat nasuha )


Astaghfirullah Rabbal Barroya
( Ampunilah Hamba Ya Allah Maha Penerima Taubat )
Astaghfirullah Minal khotoya.
( Ampunilah Hamba Ya Allah Daripada Segala Dosa ) ( 2X )

Rabbi zidni 'ilman naa fi'a
( Tambahkan kepadaku ilmu yang
   berguna )
Wa wa fiqni 'amalam maqbula
( Dan berikanlah aku amalan yang dimakbulkan )

Wa Wa habli rizqan waasi'a
( Dan kurniakan kepadaku rezeki yang meluas )
Wa tub 'alaia taubatan nasuha ( 2X )
( Dan perkenankan taubatku dengan taubat nasuha )

Astaghfirullah Rabbal Barroya
( Ampunilah Hamba Ya Allah Maha Penerima Taubat )
Astaghfirullah Minal khotoya.
( Ampunilah Hamba Ya Allah Daripada Segala Dosa ) ( 2X )

Semoga zikir taubat Astaghfirullah Rabbal Baraya ini menjadi panduan dan diamalkan , mudah-mudahan Allah memberkati sepanjang kehidupan kita di dunia & akhirat.

Peringatan : Jangan berhenti bertaubat.
Biar berulangkali melakukan dosa, teruslah bertaubat apabila sedar kesalahan kita, moga dengan izin-Nya dan hidayah-Nya, akhirnya kita tinggalkan terus kesalahan itu.

Allah tidak pelik dengan hambanya yang berulangkali melakukan dosa dan bertaubat kerana itu Allah Maha Pengampun, tetapi Allah amat pelik dengan hambanya yang melakukan dosa tapi enggan bertaubat walau sekali.

Doa Taubat

✒ Kita semua pernah melakukan kesalahan dan dosa. Sama ada dosa dengan Allah, dosa dengan ibubapa, dosa dengan rakan taulan, dan mungkin juga rasa bersalah terhadap diri sendiri. Mungkin kita ada melakukan dosa semalam atau mungkin juga pada masa ini atau mungkin juga esok.

 ✒ Adakah kita sudah meminta ampun, minta maaf dari dosa dan atas kesalahan yang kita lalukan semua itu?

✒ Baiknya Allah, sekali pun sebesar gunung kesalahan kita lakukan tetapi setelah kita memohon keampunan sebenar-benar taubat pada Dia, Dia tidak akan menggungkit kembali kesalahan yang pernah kita lakukan di Padang Mahsyar nanti. Allah sudah memapadamkan semua itu dari buku amalan kita. Kalau main-main saja minta ampun, bukan Allah tidak tahu.

Meninggalkan perbuatan dosa.

✒ Istighfar tidak akan laku di sisi Allah jika masih berbuat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w. : dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya."
 ( Riwayat at-Tirmizi )

✒ Sebenar-benarnya taubat ialah taubat nasuha yang dapat meleburkan dosa sebelumnya. Dan Allah Maha menerima taubat hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat kepada-Nya.

✒ Dan orang yang bertaubat dari segala dosa bagaikan orang yang tidak memiliki dosa. Allah S.WT berfirman, ertinya, “Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.
( QS. asy-Syura: 25 ).



Perhatian :

✒Janganlah sekali-kali kita memandang ringan sekalipun ia hanya dosa kecil.

✒ Kerana dosa yang tidak terampun, walau sebesar zarah sekalipun, pastinya akan menerima pembalasan seadil-adilnya.

Akhir kata, semoga doa ini menjadi panduan, mudah-mudahan Allah memberkati sepanjang kehidupan kita di dunia & akhirat.

Zikir Hasbi Rabbi ( Zikir Penenang Hati dan Jiwa )

Kali ini saya akan kongsikan zikir yang sangat saya gemari dan zikir ini juga dapat memberi ketenangan dalam diri saya iaitu Hasbi Rabbi. Kita wajib menanamkan sifat yakin terhadap Allah S.W.T. Zikir ini dapat memantapkan lagi keyakinan kita pada Allah serta ingatan kita pada-NYA. Jika anda semua berasa rindu akan seseorang, lafazkanlah dan bacalah zikir ini supaya hati anda rasa tenang dan sentiasa ingat pada Allah dan gantikanlah rindu itu kepada rindu Yang Maha Esa lagi baik.
Jika anda dapat memahami setiap ayat dalam zikir ini adalah lebih baik kerana setiap maksud di dalam zikir ini, sangat baik dan kita hanya berserah pada Allah.
Sama-samalah kita menghayati dan sentiasa menjadikan zikir harian kita.


Zikir Hasbi Rabbi Jalallah


✒Hasbi Rabbi Jalallah adalah kalimah zikir yang diamalkan oleh para anbia dan diwarisi oleh ulama-ulama Islam. Zikir ini dapat memantapkan lagi keyakinan kita pada Allah serta ingatan kita pada-NYA.

✒Zikir ini sangat sesuai diamalkan sebagai penenang hati kalau dihayati memang  boleh mengalir air mata terasa sayu.

✒Jika anda semua berasa rindu akan seseorang,lafazkanlah dan baca lah zikir ini supaya hati anda rasa tenang dan sentiasa ingat pada Allah dan gantikan lah rindu itu kepada rindu Yang Maha Esa adalah lebih baik.

Semoga Zikir Hasbi Rabbi Jalallah ini jadi panduan dan di amalkan, mudah-mudahan Allah memberkati sepanjang kehidupan kita di dunia & akhirat.