Selasa, 3 Disember 2019

Nabi Idris

Nama sebenarnya ialah Khanukh bin Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s. dan merupakan keturunan keenam daripada Nabi Adam a.s. Menurut Abdullah Bin Abbas, Nabi Idris mempunyai paras rupa yang menarik, susuk tubuh yang tegap, tinggi, berjanggut lebat dan bersifat pendiam.

Beliau digelar Idris kerana diambil dari perkataan Arab, iaitu  درس, iaitu belajar. Nabi Idris a.s disifatkan sebagai seorang yang suka belajar. Beliau mendalami ilmu agama sejak kecil. Beliau mempunyai 100 buah suhuf dan 4 buah kitab. Beliau telah membaca suhuf daripada Nabi Adam dan Syeets, masing-masing dikatakan sebanyak 10 dan 50 buah. Menurut riwayat lain beliau telah diajar oleh Malaikat Jibril sebanyak 30 sahifah. Pelajaran yang diterima adalah berkenaan dengan hukum-hakam daripada Allah S.W.T.

Beliau dilahirkan setelah 1000 tahun Nabi Adam a.s wafat dan semasa kelahiran beliau banyak kota telah membangun. Beliau dikatakan hidup hampir 345 tahun atau 380 tahun ia adalah berdasarkan riwayat yang bersanadkan oleh Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami.Namun, tiada riwayat yang sahih mengenai tarikh, tempat lahir dan kewafatan beliau.

Nabi Idris a.s dianugerahi kepandaian dalam berbagai disiplin ilmu, kemahiran serta kemampuan mencipta peralatan bagi memudahkan pekerjaan manusia seperti pengenalan tulisan, matematik, astronomi, ilmu haiwan, menunggang kuda, menjahit pakaian dan sebagainya. Nabi Idris merupakan manusia pertama yang dapat menulis dengan kalam ( alat tulis yang diperbuat daripada buluh ).

Nabi Idris a.s diutuskan oleh Allah S.W.T bagi mengingatkan umat keturunan Qabil yang telah bersikap derhaka. Nabi Idris a.s diberi gelaran "Asadul Usud" yang bermaksud Harimau segala Harimau kerana berani memerangi manusia yang derhaka kepada Allah S.W.T.  Allah S.W.T telah menurunkan kemarau kepada umat Nabi Idris sebagai balasan keingkaran mereka.


Allah s.w.t berfirman :

"Dan ceritakanlah ( Hai Muhammad kepada mereka kisah ) Idris ( yang tersebut ) di dalam Al-Qur'an. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang rasul. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi."
( QS. Maryam: 56-57 )

Kita tidak mengetahui bila Nabi Idris hidup dan kepada kaum siapa dia diutus dan bagaimana Allah s.w.t mengangkat darjatnya pada kedudukan yang tinggi.
Menurut dongeng kuno disebutkan bahawa Nabi Idris adalah Uzairis, salah seorang pahlawan Mesir kuno. Beliau dianggap sebagai Tuhan berhala. Izis, isterinya memainkan peranan penting dalam mengembalikannya pada kehidupan. Kami tidak memiliki suatu sumber yang otentik yang dapat kami percaya untuk meneguhkan pendapat seputar Nabi Idris.

Barangkali Idris adalah seorang Nabi yang dermawan dan mulia dan diutus di Mesir, lalu Allah s.w.t mengangkatnya di sisi-Nya seperti Nabi Isa Ibnu Maryam. Ketika beliau diangkat, terjadilah berbagai macam isu dan fitnah seputar beliau dan kemudian beliau dijadikan sebagai Tuhan. Dan barangkali ada versi lain seputar kisah itu.

Yang jelas Al-Qur'an al-Karim tidak menyingkap kesamaran yang berhubungan dengan Nabi Idris. Yang kami ketahui hanya bahawa beliau adalah seorang yang jujur, yang dipercayai, dan seorang Nabi. Allah s.w.t mengangkatnya ke darjat yang tinggi di sisi-Nya. ?


Nabi Idris a.s Bersama Malaikat Izrail

Suatu ketika Nabi Idris a.s telah dikunjungi oleh Malaikat Izrail dan bertanya Nabi Idris a.s katanya : "Hai malaikat Izrail, engkau datang ini untuk mencabut nyawa atau untuk menziarah?." 

Kata Malaikat Izrail aku datang untuk menziarah dengan izin Allah. 

Kata Nabi Idris kepada Malaikat Izrail : "Hai Malaikat Izrail, saya ada keperluan dan kepentingan kepadamu?" 

Kata Malaikat Izrail "Kepentingan apa itu?" 

Jawab Nabi Idris "Kepentingan denganmu iaitu supaya engkau mencabut nyawaku dan kemudian Allah menghidupkan kembali sehingga aku dapat beribadah kepada Allah setelah aku merasakan sakaratulmaut".

 Kata Malaikat Izrail sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang melainkan mendapat izin Allah. 

Maka Allah memberi wahyu kepada kepada Malaikat Izrail agar dia mencabut nyawa Nabi Idris, maka seketika itu Malaikat Izrail mencabut nyawa Nabi Idris a.s. Maka Malaikat Izrail menangis atas kematian Nabi Idris sambil memohon kepada Allah agar Allah menghidupkan kembali Nabi Idris a.s.

Kemudian Allah mengabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka Nabi Idris hidup kembali.

Malaikat Izrail bertanya kepada Nabi Idris as. "Hai saudaraku, bagaimana rasanya sakaratulmaut itu?.

Kata Nabi Idris a.s "Sesungguhnya rasa sakaratulmaut itu saya umpamakan binatang yang hidup itu dilapah kulitnya
( dibuang kulitnya semasa hidup-hidup ) dan begitulah rasanya sakaratulmaut bahkan lebih seribu kali sakit."

Kata Malaikat Maut: "Secara halus dan berhati-hati aku mencabut nyawa yang seperti itu selama-lamanya." 

Kemudian Nabi Idris a.s berkata lagi pada Malaikat Maut: "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengan engkau iaitu saya ingin melihat Neraka Jahanam sehingga saya boleh beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setelah melihat belenggu, rantai-rantai dan kala jengking yang menyengat orang-orang yang ada di Neraka Jahanam." 

Kata Malaikat Maut "Bagaimana saya boleh pergi ke Neraka Jahanam tanpa izin Allah".

Maka Allah memberi wahyu kepada Malaikat Maut dengan firman: "Pergilah engkau ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris a.s". 

Malaikat Maut pun pergi ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris kemudian Idris melihat segala macam seksaan yang diciptakan Allah untuk musuh-musuh-Nya yang berupa belenggu, rantai-rantai daripada neraka dan kala jengking serta ular dengan api-api yang menyala dan kayu zakum dan air yang sangat panas untuk di minum oleh ahli neraka tersebut. 

Setelah kembali Nabi Idris berkata lagi kepada Malaikat Maut. "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengamu iaitu saya ingin melihat syurga sehingga saya boleh tambah meningkatkan amal ibadah".

Maka Malaikat Maut berkata "Bagaimana boleh saya bersamamu ke dalam syurga tanpa izin Allah." 

Maka Allah memberi izin pada Malaikat Maut untuk pergi berdua dan berhenti dekat pintu syurga.

Maka Nabi Idris melihat di dalamnya nampak bermacam-macam nikmat dan istana besar lagi indah dan beberapa anugerah yang berharga, juga tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang beraneka warna dan rasanya berbeza-beza.

Nabi Idris berkata "Hai saudaraku, saya telah merasakan sakitnya sakaratulmaut, saya telah melihat Neraka Jahanam yang di dalamnya bermacam-macam rupa seksaan dan azab neraka maka mohonlah engkau kepada Allah agar Allah mengizinkan saya untuk masuk syurga dan minum airnya agar hilang rasa sakitnya sakaratulmaut di tenggkorakku ini dan juga terhindar daripada seksaan Neraka Jahanam.

Maka Malaikat Izrail minta izin kepada Allah lalu mengizinkannya, kemudian masuklah meraka berdua ke alam syurga lalu keluar. Kemudian Nabi Idris masuk lagi ke dalam syurga dan meletakkan seliparnya di bawah pokok kayu di dalam syurga. 

Maka Nabi Idris berkata kepada Malaikat Izrail "Hai Malaikat Maut, selipar saya tertinggal di dalam syurga di bawah pokok kayu, maka kembalikanlah saya ke dalam syurga," maka Nabi Idris masuk ke syurga dan tidak mahu keluar lagi dari syurga. 

Maka berteriaklah Malaikat Izrail memanggil Nabi Idris agar keluar dari syurga. "Hai Idris, keluarlah engkau dari syurga." 

Maka Nabi Idris pun tidak mahu keluar. Allah s.w.t telah berfirman "Tiap-tiap orang mesti merasakan sakaratul maut, sedang saya sudah merasakan sakaratulmaut.

Dan Allah s.w.t berfirman lagi maksudnya: "Tidak ada diantara kamu sekelian kecuali mereka itu memasuki ( neraka/syurga ) sedang aku pernah memasuki neraka dan Allah pun juga berfirman lagi maksudnya: "Dan tidaklah mereka itu dikeluarkannya".
( keluar daripada syurga ).

"Siapakah yang mengeluarkan saya dari syurga" sedangkan Allah telah memberi wahyu kepada malaikat Maut. 

"Tinggalkanlah dia ( Nabi Idris ) sesungguhnya Aku telah memutuskan dia di zaman azali dahulu bahawa sesungguhnya dia ( Nabi Idris ) tergolong ahli dan penghuni syurga."

Dan Allah telah berfirman kepada rasul-rasul-Nya tentang kisah Nabi Idris dalam firman-Nya yang bermaksud. "Dan ingatlah olehmu cerita-cerita dalam kitab Nabi Idris a.s dan seterusnya."


Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah :

1) Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.

2) Orang yang bahagia, ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.

3) Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu, demikian pula puasa dan solatmu.

4) Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5) Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah S.W.T

6) Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya itu.

7) Barangsiapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.

8) Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya, seseorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya.


Kesimpulan

Dalam usaha kita untuk menjadi umat Islam yang terbaik dan bijaksana yang boleh memimpin dengan ilmu, kita perlu mencontohi peribadi Nabi Idris a.s yang sangat suka belajar. Beliau akan sentiasa berusaha untuk memahami ilmu Allah tanpa perasaan penat lelah sehingga dikurniakan ilmu yang mendalam mengenai bintang dan matematik.

Hal ini juga membuktikan bahawa penguasaan ilmu itu berlaku sejak lama dahulu. Ia bukan budaya sesetengah bangsa sahaja malah satu perkara yang bersifat fitrah bagi setiap manusia. Kita memerlukan ilmu pengetahuan untuk terus berkembang dan melalui kehidupan dengan lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan