Ahad, 27 Julai 2025

Don't be sad

Pandangan orang-orang soleh kebanyakannya bertukar negatif terhadap mereka yang berbuat dosa. Begitu sedikit orang yang berasa dirinya faham pada agama, bertoleransi dan bersabar terhadap mereka yang berdosa. Sekiranya mereka tidak menghamburkan kata-kata nista, mereka pasti menyisihkan sesiapa yang berdosa dalam kehidupan.

     Benar, dosa itu jijik. Benar, ingkar kepada Allah itu lebih busuk daripada najis. Namun, perumpamaan jijik dan najis hanya untuk diri kita bagi mengajak diri kita menjauhi perbuatan dosa. Apabila yang jijik dan yang najis itu melekat pada orang lain, apakah yang patut kita lakukan? Ini adalah warkah untuk kita, wahai sahabat. Kita yang berdosa.

     Jangan bersedih. Sesungguhnya pengampunan Allah itu lebih luas daripada kemarahan-Nya.


Tidak Ada Manusia Sempurna

Tidak ada manusia sempurna. Selain daripada rasul dan nabi. Tidak ada lagi yang maksum selain mereka. Semua manusia melakukan dosa.

     Namun, sebaik-baik orang yang berdosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah SWT.

     Orang pasti menghina kita. Orang pasti memerli kita. Orang berkata pada kita itu dan ini. Sukar berhadapan dengan semua kritikan dan hinaan itu. Namun, kita perlu tabah.

     Sematkan dalam diri kita bahawa semua kritikan, perlian, dan hinaan itu adalah balasan terhadap dosa kita. Kita perlu bersabar melalui balasan yang Allah berikan itu, di samping kita bergerak mempertingkatkan diri kita. Jangan kita terfikir membalas hinaan mereka dnegan hinaan ataupun berfikir untuk berhenti daripada perubahan kepada kebaikan. Sekiranya kita berhenti, sebenarnya kita tertipu oleh syaitan yang mati-matian cuba menghalang kita daripada Allah SWT. Tidak ada manusia sempurna. Apabila berbuat dosa, itu adalah lumrah sebagai manusia.

     Namun, apabila kita sedar dan berusaha bangkit daripada dosa, sebenarnya kita adalah yang terbaik dalam kalangan manusia. Ini kerana, kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah SWT. Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud:

          "Sesungguhnya Allah begitu mencintai mereka yang sering
          bertaubat dan membersihkan diri."

Kepada mereka yang menghina orang yang berdosa, ketahuilah bahawa saudara juga tidak sempurna dan punya dosa yang perlu diperbaiki. Apa kata, daripada menghina, menyisihkan orang-orang yang berdosa, saudara sama-sama berpimpin tangan memperbaiki diri ke arah redha-Nya?


Keampunan Allah

Wahai sahabatku, yang terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat, apabila kita bangkit dan ingin melakukan perubahan, ketahuilah bahawa yang mengampunkan kita bukan manusia.

     Allah yang menentukan manusia itu kafir ataupun Islam. Allah yang mengira dosa pahala. Allah yang memberikan syurga ataupun neraka kepada kita.

     Berubah dan mohon keampunan-Nya. Jangan kita hiraukan pandangan manusia. Kita tidak meminta keampunan mereka. Jangan kita kasih pada hinaan mereka, bukan mereka yang mengampunkan kita. Manusia, mereka mudah menyimpan dalam hati. Tercalar, mereka simpan hingga mati. Apabila kita berdosa, mereka sukar menerima kita kerana berasa dikhianati. Tetapi, keampunan Allah lebih luas daripada kemarahan-Nya. Allah, sentiasa membuka pintu taubat-Nya. Walaupun hamba-Nya membunuh 100 nyawa ataupun lebih daripada itu. Sekiranya hamba itu kembali kepada-Nya, Dia pasti menerima. Lihatlah kecintaan Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 87 yang bermaksud:

          "Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah,
          sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir."

Allah tidak meninggalkan kita. Walaupun seluruh dunia menyisihkan kita. Dia menyuruh kita menyambungkan harapan kita kepada-Nya. Jangan berputus asa. Allah bersama kita.

     Sedikit pesanan kepada yang suka menghina pendosa, ketahuilah Allah itu lebih mulia dan lebih besar daripada kita. Namun, Allah pun berkasih sayang dan memberikan peluang. Kita?


Kepada Orang yang Menghina Pendosa

Perkara yang saya mahu katakan, jangan sesekali kita berasa kita ini sudah sempurna. Hati kita ini, di hujung kekuasaan Allah SWT bagi membalikkannya. Jangan ingat, hari ini kita beriman, esok kita pasti beriman lagi. Sepatutnya kita menjaga keimanan kita dan menjaga pula keimanan kawan-kawan kita. Bukan membiarkan mereka dalam lubang kehinaan selama-lamanya.

     Ada suatu kisah berkenaan seorang alim. Pada suatu hari dia berjalan, kemudian terlanggar seorang Nasrani. Semasa terlanggar, orang alim itu berkata, "Cis, ahli neraka!"

     Orang nasrani itu marah. Dia berkata, "Apakah kamu yang memegang neraka? Saksikan bahawasanya aku ini naik saksi bahawa Allah itu Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Dia, dan Muhammad itu rasul-Nya." Kemudian, orang Nasrani itu meninggalkan orang alim.

     Orang alim meneruskan perjalanan, akhirnya dia melalui sebuah rumah. Keluar daripada rumah itu, gadis yang cantik hingga memikat dirinya. Dia segera bertemu dengan ayah perempuan itu, meminta dikahwinkan dengannya. Rupanya, keluarga itu adalah keluarga Nasrani. Ayah kepada perempuan itu berkata, "Sekiranya kamu mahu mengahwini anakku, masuklah ke agamaku ini, dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan."

     Oleh kerana hatinya sudah sawan dengan perempuan itu, tanpa sedar, lelaki alim tadi bersetuju. Pada suatu ketika, lelaki Nasrani yang sudah memeluk Islam tadi melalui kembali jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim tadi yang sedang menggembala khinzir.

     "Apa yang sudah berlaku kepada kamu, wahai Muslim?" Orang alim tadi menjawab, "Kerana aku menghinamu, Allah menukarkan kedudukan kita." Ini adalah kisah untuk ingat-ingatan kepada yang suka menghina pendosa.

     Saya berpandangan bahawa orang yang berdosa ini perlu kita bimbing. Tambahan mereka yang berdosa daripada golongan tersungkur. Mereka itu pada awalnya baik, kemudian berbuat dosa. Sebenarnya, sesiapa yang menyisihkan pendosa, dia berdosa secara tidak langsung. Sepatutnya kita mendekati orang yang berdosa dan merancang bagi mengubah mereka. Bukan kita hina dan tinggalkannya terkontang-kanting.


Sahabat, Jangan Bersedih

Kepada sahabatku yang terpalit dengan lumuran dosa, ketahuilah bahawa saudara tidak keseorangan. Saya pun bukan manusia sempurna. Kita sama-sama berdosa. Sama-sama saya mengajak saudara untuk kembali kepada yang Esa. Hinaan orang di sekeliling kita bukan penutup pintu taubat-Nya.

     Taubat Allah hanya tertutup pada dua perkara, iaitu pertama, mati dan kedua, matahari terbit dari barat. Selain daripada itu, berkejar-kejaranlah kita mencapai keampunan-Nya.

     Memang susah mahu meninggalkan dosa. Namun, kita perlu berusaha. Seperti usahanya pembunuh 100 orang dalam hadith yang dilaporkan oleh Muslim, lelaki itu tidak sempat bertaubat. Dia baru sahaja bergerak untuk bertaubat. Tetapi, Allah mengampunkannya dan memasukkannya ke dalam syurga, kerana dia bergerak kepada-Nya.

     Jangan kita berlengah. Biar seluruh dunia menghina kita. Jangan kita jadikan itu pelambat langkahan kita kepada Allah SWT.

     Saya ada kata-kata sebagai perkongsian, "Sahabat, saya mahu berpimpin tangan dengan saudara untuk masuk syurga. Sekiranya saudara terjun ke dalam neraka sekali pun, saya juga terjun dalam api itu, bagi menarik tangan saudara semula."

     Ini kerana, saya sahabat saudara. Apabila saya yang tersungkur, suka sekiranya ada yang menghulurkan tangan. Manusia, perlu sokong-menyokong, nasihat-menasihati, dan bantu-membantu. Baru ada sempurna-menyempurnakan.

     Jangan berputus asa dengan hinaan orang.

     Kita bergerak kepada Allah yang langsung tiak menghina kita.

     Alla yang mengampunkan dosa-dosa kita.

Isnin, 29 Januari 2024

Selawat Tafrijiyah

Asal usul Selawat Tafrijiyah

Untuk pengetahuan semua Selawat Tafrijiyah ini adalah hasil dari nukilan tulisan Al-Imam Qurtubi.Selawat ini diamalkan oleh sebahagian para ulama.

Selawat Tafrijiyah juga turut dikenali dengan nama panggilan lain iaitu Selawat Nariyah, Selawat Kamilah dan Selawat Taziyyah yang membawa maksud sempurna atau terbuka sehingga menjadi lapang. Zikir ini diamalkan oleh seseorang untuk menghilangkan kesempitan dengan izin Allah S.W.T.

Maksudnya : “Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengan rahmatnya itu semoga terurai segala simpulan,

terhapus segala kesusahan, tertunai segala hajat, tercapai segala keinginan dan kesudahan umur yang baik (mati dalam keimanan) serta dicurahi hujan rahmat dengan berkat peribadinya yang mulia.

Rahmatilah ahli keluarga dan para sahabatnya dalam setiap kerlipan mata dan tarikan nafas sebanyak jumlah pengetahuan Mu.”


Fadhilat Selawat Tafrijiyah

Berikut adalah beberapa kelebihannya :

1.  Allah akan melenyapkan
     kesedihan, kesulitan serta bahaya
     yang menimpa dirinya.

2.  Allah akan memudahkan segala
     urusan hidupnya.

3.  Dipancarkan nur ( cahaya ) dalam
     hatinya juga ditinggikan
     martabatnya.

4.  Suaranya didengari serta
     pandangan dan pendapatnya
     diterima ramai.

5.  Dia dilindumgi daripada segala
     bencana dan malapetaka.

6.  Dia sentiasa dicintai oleh semua
     orang.

7.  Segala yang dihajati akan
     dimakbulkan Allah.

8.  Dimurahkan rezekinya, dijauhkan
      daripada kelaparan dan
      kemiskinan.


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat Nya berselawat ( memberi segala penghormatan dan kebaikan ) kepada Nabi ( Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” – ( Surah al-Ahzab, ayat 56 )

Isnin, 18 Disember 2023

Doa Nabi Musa ( Pekerjaan Dan Jodoh )

 


 
Rabbi, inni lima anzalta ilayya min khairin faqir.
  
  Ertinya:

“Ya Tuhanku, sungguh aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Surah Al-Qisas (Ayat 24)

Jumaat, 20 Oktober 2023

Tips interview dengan company oversea.

 

1. Mereka biasanya akan tanya kita tentang situasi di negara kita. Jadi kita kena ambil tahu apa yang berlaku dalam bidang kita di negara kita.

2. Working hour. Tanya jelas working hour tu berapa jam sehari, bila weekend, bila cuti sebabnya bila kita kerja online ni tiba2 jadi macam kerja 24 jam ehhh.. No contact except working hour.

3. Letak expectation yang realistik dengan skill kita. Kalau kita nak buka Google drive pun terkial-kial, itu tanda kena belajar lagi. Belajar di Uni tak sama dengan belajar di tempat kerja.

4. Ni ayat Cliché tapi berguna. "Be confident" be confident tu sebab kita ada pengetahuan dan kita nak sampaikan dengan cara paling jelas. Jangan la benda kita tak tahu pun kita tibai. Interviewer tau kita pura-pura ke betul-betul tahu.

5. Speak good English. Speaking ni tak semestinya perfect dengan accent British ke Amerika ke, tapi kena lancar, jelas dan bertenaga. Asas grammar betul. Itu menunjukkan kita beri effort untuk komunikasi.

6. Nak mohon apa saja kerja pun dengan company luar negara, kita perlu ada juga sedikit pengetahuan tentang bisnes. Itulah sebabnya dia nak ambil kita kalau tak, baik dia ambik pekerja dari negara dia je. All of these companies they're doing business.

7. "Tell us about yourself" cerita lah pengalaman dan pengetahuan kita yang berkait dengan kerja yang kita mohon. Yakinkan mereka yang kita ni dah tahu apa tugasan kita. Jangan pula pergi cerita tentang makanan kegemaran, nama kucing ke apa. They don't want to know about you, they want to know how you will benefit the company.

8. Kalau dia tak tanya soalan "what problems do you solve in your current role", kita cerita awal2. Problem yang unique yang hanya anda terfikir nak selesaikan tu. Perbincangan ni penting sebab ia menandakan kita seorang yang selalu berfikir dan nak kepada improvement.

9. Negotiation. Nego sampai jadi. Saya anggap kerja online seperti Situasi kerja online ni macam kita order makanan online vs order makanan di restoren. Di online kita boleh pilih apa saja makanan yang kita nak tanpa perlu risau nak kena tukar2 tempat. Kalau kita order di restoren, gi kedai, tengok menu, takde pulak makanan yang kita order. Pastu kena naik kereta, gi kedai lain. Proses yang panjang. Sama juga kerja online vs kerja tak online. Kerja online kalau kita rasa gaji tak setimpal, tak suka culture, boleh quit bila2 masa (tengok terms syarikat jugak) tanpa perlu risau kena tukar tempat kerja yang jarak sekian2. Kita tetap duk rumah jugak.

10. Jangan risau. Kalau company tu taknak kita, opportunities come and go. Know your values. Your happiness matters.


Ampunkan Kami Ya Allah

 Assalamualaikum,


Bismillahirahmanirahim....

Ya Allah Ya Tuhanku,
Pada hari yang penuh barakah ini Ya Allah,
aku ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga ini atas segala rahmat dan nikmat yang Kau kurniakan pada diriku dan pada segenap alam ini.


Ya Allah Ya Tuhanku,
Sampaikanlah salam rinduku pada Baginda Rasulullah SAW.
Selawat Ke Atas Baginda, Keluarganya dan sahabatnya.


Ya Allah Ya Tuhanku,
Terima kasih Ya Allah,
kerana menghadiahkan aku dua malaikat seperti yang telah Kau janjikan untuk melindungi aku, menyayangi aku, menjaga aku dan mengingatkan aku tentang Kamu Ya Allah. Yang mengajar aku sentiasa berharap kepadaMu Ya Allah.


Ya Allah Ya Tuhanku,
Sesungguhnya Ya Allah Engkaulah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku Ya Allah.

Ampunkanlah dosa mereka,
Kasihinilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak aku kecil Ya Allah.

Ampunkanlah mereka,
Kurniakanlah mereka cahaya hidayahMu Ya Allah,
Terangilah kehidupan mereka dengan Nur Mu Ya Allah,
Dakaplah mereka dalam Kasih SayangMu Ya Allah,

Sesungguhnya Kedua ibu bapa ku
telah menjaga amanah yang Engkau berikan dengan sepenuh hati mereka.


Berikanlah mereka kesihatan yang baik Ya Allah,
Panjangkanlah usia mereka Ya Allah,
Serulah mereka ke Tanah SuciMu Ya Allah,
Kurniakanlah mereka kebahagiaan Ya Allah,
Kurniakanlah mereka kelapangan dada Ya Allah,
Kurniakanlah mereka ketenangan Ya Allah.


Sesungguhnya Ya Allah,
Hanya padaMu aku berharap, hanya padaMu aku berdoa penuh pengharapan ini Ya Allah,
Lindungilah kedua ibu bapaku walau dimana mereka berada.
Jauhilah mereka dari hasad dengki manusia Ya Allah.


Ya Allah,
Pada hari pengadilan nanti,
permudahkanlah timbangan mereka,
Pada saat mereka meniti titian siratulmustakim Mu,
Permudahkanlah mereka Ya Allah.
Bukakanlah mana-mana pintu syurga buat kedua ibu bapaku,
dan jadikanlah mereka kekal didalamnya buat selama-lamaya Ya Allah.


Ya Allah Ya Tuhanku,
Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Esa,
Yang Mengetahui sesuatu Lagi Maha Adil,
Ya Allah,

Ampunkanlah dosa-dosa aku Ya Allah,
Ampunilah dosa hambaMu ini,
Jadikanlah aku lelaki yang beriman Ya Allah,
Agar aku menjadi yang terbaik buat kedua ibu bapaku.

Ampunilah dosa adik-adikku Ya Allah,
Jadikanlah kami anak-anak yang soleh buat kedua ibu bapa kami Ya Allah,
Jangan lalaikan hati kami dengan dugaan dan kemewahan dunia Ya Allah,
Jadikanlah hati kami, hati yang terus istiqamah dalam menunaikan setiap perintahMu dan menjauhi setiap LaranganMU.


Ya Allah Ya Tuhanku,
Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Ampunkanlah dosa saudara maraku, kaum kerabatku Ya Allah,
Kukuhkanlah ikatan antara kami,
Wangikanlah ikatan antara kami,
Jadikanlah kami keluarga yang sentiasa mengingati kebaikan antara satu sama lain.


Ya Allah,
Dengan penuh harapan ini ,
Aku mohon Ya Allah,
Ampunilah dosa guru-guruku,
Angkatlah martabat mereka ya Allah,
Lipat gandakanlah pahala dan amal kebaikan mereka,
Berkatilah mereka Ya Allah.


Ya Allah,
Ampunilah dosa sahabat-sahabatku Ya Allah,
Jadikanlah kami sahabat yang saling mengasihani keranaMu Ya Allah,
Kukuhkanlah hati kami Ya Allah,
Berikanlah kami kekuatan untuk terus istiqamah dalam mematuhi perintahMu dan Menjauhi LaranganMu,
Ya Allah pertemukanlah aku dan sahabat-sahabat ku disyurga nanti Ya Allah!


Ya Allah Ya Tuhanku,
Ampunilah jua dosa jiran-jiranku Ya Allah,
Ampunilah juga dosa seluruh Muslimin dan Muslimat dimuka bumi ini!
sama ada yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Kuatkanlah hati kami Ya Allah,
Agar kami Kuat! agar kami kuat mempertahankan nas-nas Mu Ya Allah.


Ya Allah Ya Tuhanku,
Sungguh aku syukuri segala rahmat dan nikmatMu.


Ya Allah,
Janganlah Kau jadikan kami terus lalai dek arus kemodenan ini Ya Allah,
Pautkanlah hati kami terus pada agamaMu, Ya Allah,
Kurniakanlah kami Nur Hidayah Mu Ya Allah,
Supaya kami tidak pernah lelah dan kecewa dalam mengejar redhaMu!


Ampunkanlah Kami Ya Allah!
Umat Akhir zaman yang sedikit jumlah yang akan memasuki syurga!
Sungguh Ya Allah, kami tidak mampu hadapi seksa nerakaMu,
Jangan biarkan kami terus lalai dan hanyut dengan godaan ini Ya Allah!


Ampunkalah Kami Ya Allah!
Sesungguhnya Kaulah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Sesungguhnya dari Engkau kami datang dan kepadaMu jua kami akan kembali.

Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhilah kami dari azab neraka.

Isnin, 31 Julai 2023

Ayat Pendinding Diri

 بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

Bismillahillazi La Yadhurru Ma'asmihi Syai un Fil Ardi Wala Fisamaie, wa huwas Sami'ul ‘Alim

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui"

Baca sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membaca ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya"

 (Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidzi, 5/465 dan Ahmad)


Kelebihan beramal dengan doa ini :

1. Terhindar daripada bahaya

➡️ Menurut Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din 
      ayat ini di namakan "Ayat Pengerak" 
      kerana dengan membaca doa ini boleh
      mengerakkan hati kita untuk 
      meneruskan atau tidak bila hendak 
      melakukan sesuatu  kerja-kerja yang 
      berbahaya.

➡️ Cara beramal dengan doa ini, bila hendak
      memulakan perjalanan samaada 
      perjalanan yang dekat ataupun jauh, 
      mengembara ke tempat yang telah biasa 
      ataupun yang belum pernah dikunjungi 
      dan sebagainya atau untuk memulakan 
      sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa 
      atau berisiko seperti masuk hutan untuk  
      berburu, memancing, menyembelih 
      binatang, bekerja di tempat
      pembinaan, dan seumpamanya, maka
      sebelum itu bacalah doa ini sebanyak 7 
      kali.

➡️ Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa
      atau ketika sedang membaca ada
      gangguan seperti gangguan telefon  
      berdering, gangguan daripada anak-
      anak, gangguan daripada rakan-rakan 
      yang menyapa dan sebagainya yang
      menyebabkan kosentrasi bacaan
      terganggu, maka berehatlah dahulu.

➡️ Jangan diteruskan perjalanan atau
      pekerjaan tersebut. Setelah berehat
      beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga
      tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan
      tujuh kali itu lancar baru teruskan
      perjalanan atau pekerjaan tersebut.

➡️ Menurut pengalaman Tuan Guru, jika 
      kita meneruskan juga perjalanan atau 
      pekerjaan sedangkan bacaannya tidak 
      lancar, adalah dikhuatiri kita boleh 
      terkena dengan kemudaratan yang 
      mungkin ada dihadapan kita.

➡️ Terdapat 2 jenis Qada, iaitu :

      Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah 
      yang boleh berubah dengan kita 
      berusaha melalui berdoa kepada-Nya. 
      Manakala, Qada’ Mubram iaitu 
      ketentuan Allah yang tidak boleh 
      berubah seperti mati maka kalau
      ajal telah tiba kita membaca doa ini
      seribu kali sekali pun pasti kita akan 
      mati.





Do'a Kebaikan Dunia dan Akhirat

رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

RABBANAA AATINAA FID DUN-YA HASANAH, WAFIL-AAKHIRATI HASANAH, WAQINAA ‘ADZAABAN NAAR

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.” 

(QS. Al Baqarah: 201)

Khamis, 23 Mac 2023

Lafaz Niat Puasa Ramadan Harian / Sebulan

Maksud Puasa

Puasa secara bahasa bermaksud “menahan diri“.

Dari segi istilah syarak puasa bermaksud “menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat“.

1. Lafaz Niat Puasa Harian di Bulan 
    Ramadhan

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bahasa rumi : Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala

Maksudnya : Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala



2. Lafaz Niat Puasa Sebulan di Bulan 
    Ramadhan

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bahasa rumi : Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala

Maksudnya : Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala



Doa Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan

Doa berbuka secara bersendirian adalah seperti berikut:

 Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin

Maksudnya:

Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.


Doa berbuka secara beramai-ramai


 Allahumma Lakasumna Wabika Aamanna Wa’alaa Rizqika Afthorna Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin

Maksudnya:

Ya Allah kerana Mu kami berpuasa, Dengan Mu kami beriman, kepada Mu kami berserah dan dengan rezeki Mu kami berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.

Jodoh panjang atau tidak

Itu rahsia Allah s.w.t...itu ketentuan Allah s.w.t....

Sebagai manusia, apa yang boleh kita buat ialah berusaha sehabis baik untuk hubungan itu...selagi kita masih bersama dengannya, maka selagi itulah kita perlu buat yang terbaik untuk dirinya...

Sekuat mana pun kita dah berusaha, selama mana pun kita bersamanya, setia manapun kita disisinya, sesabar mana pun kita dengan perangainya, kalau dah ditakdirkan jodoh kita dengannya terhenti dipertengahan jalan, maka ianya bukan salah Allah s.w.t yang memisahkan kita...

Allah s.w.t ada perancangan yang lebih baik lagi untuk diri masing-masing...

Mungkin di antara dua manusia itu, hanya seorang sahaja yang buat terbaik untuk hubungan itu...maka Allah s.w.t nak bagi ganjaran atas apa yang dia lakukan, Allah s.w.t gantikan dengan manusia yang lain, yang sama sifatnya dengan dia, yang boleh buat dia bahagia...

Mungkin juga di antara dua manusia itu, ada seorang yang tidak menghargai apa yang telah dilakukan seorang lagi, maka Allah s.w.t nak bagi dia pengajaran dan kesedaran, Allah s.w.t tarik manusia itu dari hidupnya, Allah s.w.t hadirkan seseorang yang boleh bagi dia pengajaran dan kesedaran kepada dirinya sehingga dia mula rasa bahawa yang dahulu itu dah pun menjadi yang terbaik untuk dirinya...

Sekiranya jodoh tidak panjang yang bukannya sebab kematian,  maka pastinya ada sebab dan musabab disebalik kenapa dan mengapa jodoh itu tidak berpanjangan...

Kuat atau tidak jodoh kita dengan pasangan, pendek atau panjang jodoh kita dengan pasangan, ianya bergantung sejauh mana kita berusaha dalam hubungan itu, untuk hubungan itu...

Yang pastinya, usaha itu harus datang dari kedua-duanya, bukannya seorang sahaja...

Ingatlah, jodoh yang baik itu bukanlah yang datang dengan kelebihan, tapi yang tidak pergi kerana kekurangan...

Jangan sibuk dengan rumahtangga orang lain...jaga hubungan dalam rumahtangga sendiri.

Jumaat, 3 Mac 2023

Lirik lagu Dragon Ball GT versi Spanish ( Mi Carazón Encantado )


Mi Carazón Encantado


Tu sonrisa tan resplandeciente
A mi corazón deja encantado
Ven toma mi mano
Para huir de esta terrible oscuridad
 
En el instante en que te volví a encontrar
Mi mente trajo a mi aquel hermoso lugar
Que cuando era niño fue tan valioso para mi
 
Quiero saber si acaso tu conmigo quieres bailar
Si me das tu mano te llevare
Por un camino cubierto de luz y oscuridad
 
Tal vez sigues pensando en él No puedo yo saberlo, pero sé y entiendo
Que amor necesitas tú Y el valor para pelear en mi lo hallaras
 
Mi corazón encantado vibra
Por el polvo de esperanza y magia
Del universo que ambicionan todos poseer
 
Voy a amarte para toda la vida
No me importa si aun no te intereso
Ven toma mi mano
Para huir de esta infinita oscuridad
 
El universo te puedo dar
Solo por un instante de tu mirar
Puedo parar el tiempo cuando estas cerca de mi
 
Quiero borrar todas las dudas que me hacen mal
Saber el camino para encontrar
Ese destino que siempre imagino junto a ti
 
Tantas cosas que quiero decirte
Se quedan en silencio, no encuentro el momento
El ruido de la ciudad
No me permite llegar a tu corazón
 
Y aunque trato de ocultar lo que siento
Siempre ocupas tú mi pensamiento
Ya no puedo fingir
Lo que el corazón siente por ti
 
Tú me atrapas con esa sonrisa
Ya no vivo esta vida de prisa
 
Ven dame tu mano
Para huir de esta terrible oscuridad


Versi English


Your smile is so dazzling smile to my heart that it's left enchanted.
Come and hold my hand in order to escape from this terrible darkness.
 
At the instance in which I happened to re-encounter you
My mind brought to me that beautiful place, that when I was a child ( boy ), was so valuable precious for me.
 
I want to know if, maybe, with me, you want to dance?
If you give me your hand, I will guide you down a (winding) road full of light and darkness.
 
Perhaps you still keep thinking about him?
Unable to, I am, to know why, but I (do) know and understand whose love you need, and you will, within me, find it: the valor in order to fight for you.
 
My enchanted heart beats for the dust of hope and magic
In the universe that we all want to possess
 
I'm gonna love you until my death
It doesn't matter to me if you even care about me or not
Come and grab hand in order to escape from this infinite darkness.
 
The universe, I can show you, just long enough for you to see it
You stop [the] time when you're close to me
 
I want to wash away all the doubts that make me blue
Know the way in order to find that destiny that I always imagined with you
 
(There's) so many things that I wanna tell you
It becomes awkward, just can't find the right moment
The noise of the city drowns out my chance to grasp your heart.
 
And although I try to hide what I feel
You always occupy my thoughts
I can't hide it anymore:
The love that my heart feels for you
 

You trap me in that smile
I don't travel the highway of life in the fast-lane anymore 
Come and grab my hand in order to escape from this terrible darkness.

















Rabu, 1 Mac 2023

Berni

Berni ialah seekor beruang berwarna coklat yang menjadi maskot kepada kelab gergasi bola sepak Jerman, iaitu FC Bayern Munich.

Reka bentuk Berni sebenarnya diilhamkan oleh seorang usahawan Jerman yang bernama Meik Algermissen.

Pertama kali Berni diperkenalkan kepada umum pada 08 Mei 2004 ketika perlawanan FC Bayern Munich vs Werder Bremen.

Berni digambarkan sebagai seekor beruang yang berketinggian 2 meter dan seberat 99 kg. Perkataan yang sering diungkapkan beliau ialah Mia san Mia!.

Pengikut Berni di laman Instagram telah mencecah 722k pengikut.@berni_fcb



Khamis, 9 Jun 2022

21 Soalan Temuduga Kerja Yang Biasa Ditanya

1. Sila terangkan mengenai diri anda

Assalamualaikum dan selamat pagi.Nama saya (nama anda) dan saya berasal dari
(tempat tinggal).Saya adalah pemegang/ lulusan SPM/STPM/Sijil/Diploma/Ijazah/
Master/PHD (kelayakan akademik anda) dari (tempat anda study).Sebelum ini, saya pernah/sedang kerja di (company lama/ tempat praktikal) selama (tempoh masa). Semasa masih bergelar pelajar, saya pernah terlibat dengan (aktiviti/persatuan/ kelab/etc).Saya pandai/biasa menggunakan (skill yang anda ada) dan pernah mengambil dan terlibat dengan bengkel/kursus kemahiran (nama kursus yang anda ambil).Saya datang ke sini untuk memohon jawatan sebagai (jawatan yang anda apply).


2. Apa kelemahan anda?

Antara jawapan boleh dinyatakan adalah seperti berikut :

✔ Saya sangat mementingkan
     kesempurnaan dalam setiap tugasan  
     yang saya lakukan.Oleh itu, saya akan
     membuat semakan berulang-ulang kali
     sehingga saya yakin dan berpuas hati
     dengan tugas yang saya lakukan        
     walaupun ia mengambil masa yang 
     agak panjang.

✔ Sekiranya saya diberikan sesuatu 
      tugasan, saya akan menyiapkannya 
      lebih awal daripada tarikh/jadual yang 
      sepatutnya.Kerana saya mengambil 
      iktibar daripada pengalaman yang 
      lepas apabila kita membuat kerja pada 
      saat-saat akhir ia menjadi sesuatu      
      yang menyakitkan.Ini kerana, tugasan 
      tersebut tidak dapat disiapkan dengan 
      sempurna.


3. Apa kekuatan anda?

✔ Saya mahir mengurus masa saya  
     dengan baik, cekap dan teratur     
     sekaligus memudahkan saya untuk 
     memberi tumpuan kepada tugasan 
     yang seterusnya.

✔ Saya mampu mencari jalan 
      penyelesaian kepada setiap masalah 
      yang sukar kerana saya tahu setiap 
      masalah itu ada cara penyelesaianya 
      yang tersendiri.


4. Kenapa anda berhenti kerja di tempat
     lama

Peningkatan dalam kerjaya
✔ Ini kerana saya ingin meningkatkan 
      daya kemahiran saya dan mahu 
      mencari peluang yang lebih besar 
      untuk memajukan diri.

Berpindah ke tempat baharu
✔ Saya baru sahaja berpindah dan jarak
      perjalanan pergi balik ke tempat kerja
      agak jauh. Walaupun saya berasa  
      seronok dan selesa dengan tugasan 
      saya bersama dengan rakan setugas, 
      namun dengan jarak perjalanan yang 
      agak jauh begitu sedikit sebanyak ia 
      mampu mengganggu prestasi kerjaya 
      saya.Oleh sebab itu, saya bercadang 
      mahu bekerja berdekatan dengan  
      rumah saya agar dapat mengurangkan 
      masa perjalanan dan saya  berharap 
      dapat merealisasikannya dengan 
      mengisi kekosongan jawatan di       
      syarikat tuan/puan.

Diberhentikan kerja
✔ Dengan penyebaran wabak pendemik
      Covid 19 dan kemelesetan ekonomi 
      yang melanda setiap negara sekarang
      ini, syarikat telah mengkaji semula 
      struktur organisasi mereka dan ingin  
      mengecilkan saiz pekerja,maka 
      dengan ini seramai 100 orang telah 
      diberhentikan termasuk saya.Apa  
      yang saya pelajari sepanjang
      pengalaman ini adalah untuk lebih
      bertanggungjawab dalam 
      perkembangan kerjaya dan diri saya. 
      Oleh itu, saya telah menghadiri 
      berberapa kursus dan bengkel
      yang dianjurkan oleh pihak kerajaan 
      dan swasta secara dalam talian atau
      bersemuka bagi memantapkan lagi
      kemahiran yang saya miliki.


5. Kenapa dah lama anda menganggur?

Saya bukanlah menganggur seperti yang pihak encik/puan sangkakan. Dalam tempoh yang lepas, saya sebenarnya banyak menghadiri khursus pemantapan diri (beri contoh nama khursus). Dalam masa yang sama, saya juga banyak melakukan kerja-kerja sampingan seperti…(beri contoh) yang mana banyak mengajar saya soft skills yang tidak dapat saya pelajari sebelum ini. Menerusinya juga saya banyak belajar untuk berinteraksi dan berurusan dengan semua peringkat lapisan umur, latar belakang yang berbeza sekaligus memberikan saya satu bentuk pemahaman baru berkenaan cara berinteraksi dan berurusan yang betul.


6. Apakah yang akan memberi anda
    semangat dan motivasi?

✔ Walau apa jua jawatan yang saya 
      sandang saya akan melakukan kerja 
      dengan baik.Saya sentiasa ingin 
      sukses dalam kerja yang saya lakukan 
      kerana ia memberi nilai kepuasan 
      kepada diri saya dan juga majikan 
      saya khususnya.

✔ Saya adalah seorang yang
      bertanggungjawab terhadap kerja dan       saya akan memastikan kualiti kerja 
      saya sentiasa terbaik bersama-sama 
      rakan sekerja yang lain. Saya melatih 
      diri saya sendiri untuk bekerja dan 
      siap tepat pada masanya untuk 
      mendapatkan prestasi kerja yang 
      terbaik.


7. Terangkan kepada saya bagaimana 
     anda mengatasi ketika bekerja di 
     bawah terkanan?

Pertama sekali saya akan berdoa kepada Allah s.w.t agar dimudahkan segala urusan saya. Seterusnya, saya tidak akan memikirkan perkara-perkara yang akan membebankan otak saya dan akan menganggapnya sebagai satu cabaran bekerja. Saya akan bersikap tenang dalam semua keadaan dan terus fokus terhadap kerja.


8. Berapa lama anda jangka untuk bekerja
    dengan pihak kami?

Selama yang boleh. Apa yang penting bagi saya ialah ia akan kekal dan terus 
memberikan motivasi kepada diri saya secara profesional.


9. Apa yang paling anda tidak suka 
    tentang rakan sekerja?

Saya percaya dengan kerjasama. Biarpun
kadang-kala kita tidak dapat menjangkakan sifat orang lain (rakan sekerja), saya tetap akan buat yang terbaik dan cuba untuk mengelak masalah tersebut daripada mempengaruhi emosi sendiri melainkan ianya ada kena mengena dengan tingkah peribadi saya.


10. Di mana anda lihat diri anda dalam 
      lima tahun akan datang?

✔ Saya melihat diri saya sedang 
      memegang salah satu daripada posisi 
      jawatan tertinggi dalam syarikat ini 
      dan mampu untuk mengurus portfolio 
      penting yang ada di dalam syarikat ini.

✔ Pada lima tahun akan datang saya 
      akan menjadi seorang yang lebih baik 
      daripada sekarang.Saya sudah 
      mempunyai kerjaya yang stabil.Saya 
      juga akan sentiasa menambah baik 
      kemahiran dan kualiti kerja saya.


11. Apakah matlamat dan perancangan 
      anda untuk jangkamasa pendek dan 
      panjang?

Matlamat jangka pendek adalah saya berharap agar mendapat pekerjaan tetap bagi menjamin kehidupan saya dan keluarga di masa hadapan.Saya amat berharap terpilih untuk menjawat jawatan ini.Matlamat jangka panjang adalah saya ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik.Saya akan terus memperbaiki kualiti kerja saya dengan cara menambahkan ilmu iaitu melalui menghadiri seminar, bengkel dan kursus. Saya juga berazam untuk mengembangkan potensi diri dan kerjaya saya sehingga ke peringkat tertinggi.


12. Sekiranya diberi dua tugasan dalam 
       satu masa, bolehkah anda 
       menyiapkan kedua-dua tugasan 
       tersebut dalam masa yang singkat?

Saya akan menyiapkan tugasan tersebut mengikut keutamaan.Keutamaan saya ialah menyelesaikan tugasan yang lebih penting dan paling hampir dengan tarikh akhirnya.


13. Bagaimana sekiranya anda diberi 
       tugasan tetapi tiada bahan rujukan, 
       apakah tindakan anda bagi 
       menyiapkan tugasan tersebut ? 

Bagi saya sekiranya diberi tugasan tanpa bahan rujukan, apa yang perlu saya lakukan ialah saya akan berbincang dengan rakan sekerja yang mempunyai pengalaman atau yang pernah melakukan tugasan tersebut sebelum ini.Saya yakin dan pasti bahawa setiap tugasan yang diberi mesti ada jalan penyelesaiannya. Melalui cara perbincangan ini kita pasti akan menemui pelbagai idea untuk menyiapkan tugasan tersebut.
Keadaan ini secara tidak langsung akan mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara kita dengan rakan sekerja.


14. Terangkan kepentingan integriti 
       terhadap sesuatu organisasi 
       pekerjaan ? 

Integriti memastikan setiap tindakan dan perbuatan kita berpandukan kebenaran dan kejujuran selaras dengan ajaran agama dan undang-undang.Integriti juga dapat menghindarkan diri kita dari pecah amanah atau rasuah.


15. Terangkan kepada saya bagaimana 
       anda menyelesaikan sesuatu 
       masalah ? 

Perkara utama yang saya akan buat ialah saya akan menyiasat masalah tersebut secara teliti dan tidak mengambil sebarang keputusan dengan terburu-buru. Kemudian saya akan berjumpa dengan orang yang berpengalaman yang pernah mengendalikan kes seperti ini sebelum ini. Seterusnya, saya akan mengambil langkah-langkah proaktif supaya perkara sebegini tidak akan berulang lagi.


16. Bekerja secara sendirian atau secara 
       berkumpulan, yang mana satu 
       menjadi pilihan anda ? 

Saya seorang yang mudah berkawan dengan sesiapa sahaja.Selain itu, saya mudah bertolak ansur dan menghormati setiap keputusan kerja orang lain. Sebenarnya, saya memang suka berkerja secara berkumpulan kerana ianya dapat memberi lebih banyak idea untuk membentuk idea yang terbaik.Saya juga tidak kisah sekiranya berkerja seorang diri. Keadaan ini akan menjadikan saya lebih kreatif, inovatif dan lebih berdikari.


17. Terangkan serba sedikit berkenaan 
       cara anda bekerja ? 

Saya membuat kerja secara terancang supaya dapat memberi tumpuan kepada kerja yang seterusnya.Saya sentiasa menyemak kerja saya supaya hasil kerja yang saya lakukan itu benar-benar berkualiti.Saya juga akan berbincang dengan rakan sekerja yang lain dalam melaksanakan tugasan yang diberi supaya lebih cekap dan efisyen.


18. Pada pandangan anda 
       penambahbaikan yang bagaimana 
       diperlukan bagi syarikat ini terus 
       berdaya saing ? 

Setiap kakitangan seharusnya menambahbaik sistem penyampaian kepada pelanggan supaya lebih cekap dan telus mengikut SOP yang ditetapkan. Syarikat juga perlu menyediakan kemudahan untuk promosi dan pesanan produk secara online bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan syarikat. Selain itu, setiap kakitangan perlu diterapkan budaya kerja berprestasi tinggi yang melibatkan perubahan budaya kerja, cara berfikir dan cara bertindak bagi memastikan syarikat berkembang maju.


19. Kenapa kami perlu mengambil anda
     bekerja? 

✔ Jika pihak encik/puan menerima saya
      bekerja, ia merupakan satu platform
      terbaik bagi saya untuk menunjukkan       kebolehan saya.Apa yang pasti, 
      kebolehan ini adalah selaras dengan 
      apa yang syarikat ini ingin capai.Saya 
      juga berminat untuk menjadikan 
      syarikat ini sebagai platform untuk 
      saya belajar perkara-perkara baru.

✔ Saya seorang yang mempunyai 
      keyakinan dan jati diri yang tinggi, 
      mampu berkerjasama dengan rakan 
      sepasukan,baik dalam pengurusan 
      masa dan menjalankan tugas secara 
      teratur serta berkebolehan dalam 
      berkomunikasi dengan baik.


20. Apakah jangkaan gaji anda? 

✔ Saya lebih selesa sekiranya tuan/puan
      sendiri yang memberikan julat gaji 
      untuk jawatan ini.

✔ Saya tidak kisah tentang bayaran gaji.
      Fokus saya adalah untuk memberikan       khidmat yang terbaik untuk syarikat.

✔ Saya rasa terlalu awal untuk
      membincangkan isu jumlah gaji ini. 
      Saya lebih selesa sekiranya kita 
      berbincang tentang pengalaman kerja 
      serta skill set terlebih dahulu.


21. Ada apa-apa soalan? 

Pada kebiasaannya soalan ini akan ditanya ketika penemuduga ingin mengakhiri sesi temuduga. Jadi pada ketika ini bolehlah anda mengajukan beberapa soalan kepada penemuduga. Antara soalan yang anda boleh tanyakan adalah :

✔ Apakah cabaran utama yang dihadapi 
      oleh syarikat pada ketika ini ?

✔ Boleh saya tahu dengan siapa saya 
      akan berkerjasama jika saya diterima 
      bekerja nanti ?

✔ Apakah langkah seterusnya dalam
      temuduga?

✔ Sekiranya saya diterima bekerja apakah
      bidang tugas saya ?

✔ Apakah matlamat syarikat ini dalam
      tempoh 5 tahun akan datang?

✔ Apakah penanda aras yang diletakkan
      untuk mendapatkan jawatan ini?

✔ Adakah Syarikat menyediakan Program
      Latihan untuk pekerjanya?


Kesimpulannya

Akhir kata, soalan dan jawapan temuduga akan datang dalam bentuk yang pelbagai. Sangat penting bagi anda untuk kenali kata kunci setiap soalan.Persiapkan diri anda dengan tatatertib ketika temuduga dan jawapan-jawapan bagi setiap soalan yang mungkin ditanya.Jangan cemas dan sentiasa yakin dengan jawapan anda kerana setiap jawapan dan pandangan anda akan diambil kira.Soalan dan jawapan temuduga yang saya berikan merupakan sebahagian daripadanya.Pastikan penemuduga jelas dengan setiap butir-butir yang anda beri. Selamat berjaya!!



Sabtu, 28 Mei 2022

Tree Top Walk Sungai Sedim

Hutan Lipur Sungai Sedim

✔ Hutan Lipur Sungai Sedim terletak 33km dari Bandar Kulim dan 130km dari Bandaraya Alor Setar.

✔ Sungai Sedim sepanjang 15km adalah sungai berarus deras dan mempunyai beberapa buah jeram yang sesuai untuk aktiviti berkayak.

✔ Sungai Sedim mempunyai 8 anak sungai iaitu Sungai Reyau, Sungai Merbok, Sungai tebuan, Sungai Karangan, Sungai Terona, Sungai Bekui, Sungai Bikan dan Sungai Buloh.

✔ Hutan lipur ini sinonim sebagai tapak perkelahan Di Raja Kedah. Di sini juga kerap berlangsungnya pertandingan kayak arus deras diperingkat antarabangsa.


Tree Top Walk

         Tree Top Walk atau jambatan konopi di Sungai Sedim, Kulim, Kedah pernah merekodkan  sebagai laluan kanopi terpanjang di dunia sebelum rekod tersebut diambil alih oleh Bavarian Forest National Park ( Nationalpark Bayerischer Wald ) sepanjang 1,250 meter yang terletak di bahagian timur Bavaria di daerah Regen dan Freyung-Grafenau, Jerman.

          Laluan sepanjang 950m ini, berada dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Inas. Ketika meniti di laluan ini, anda akan melihat panorama yang sangat mengasyikan mata memandang di samping bunyi ugas sahut-bersahutan terus membuatkan penulis melupakan tekanan kerja buat seketika. Untuk pengetahuan semua, Gunung Inas mempunyai ketinggian setinggi 1,801 meter.

         Pembinaan jambatan kanopi ini mengambil masa selama 14 bulan dan siap dibina sepenuhnya pada bulan Mac 2005. Struktur pembinaannya berbentuk segiempat tepat dan dibuat sepenuhnya dengan mengunakan keluli logam yang tahan karat serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Berat keseluruhannya mencecah 422,214 kilogram. 

           Walaupun titian ini diperbuat daripada besi keluli yang kukuh, namun begitu pengunjung masih boleh merasai keadaan bergoyang seperti titian konopi yang biasa. Oleh itu, pengunjung tidak perlu risau dengan faktor keselamatan kerana titian ini tidak akan roboh atau rosak. Hanya 10 orang dibenarkan berada di antara satu satu stesen walaupun jambatan gantung ini mampu menampung lebih daripada itu. Semua ini dilakukan untuk menjaga keselamatan pengunjung dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

          Semakin jauh dari stesen yang pengunjung pergi, akan bertambah aras ketinggian jambatan berkenaan.Kemuncak yang paling tinggi ialah 26.5m dari lantai hutan.





Antara yang menarik boleh diperhatikan sepanjang laluan ini ialah :

a) Pelbagai spesies pokok hutan

Pokok Tualang
➡️ Pokok tualang merupakan spesies 
      pokok hutan hujan tropika dalam 
      keluarga Fabaceae.
➡️ Merupakan salah satu spesies pokok 
      tropika tertinggi ( 88m tinggi / 289kaki)
➡️ Ketinggiannya membolehkan lebah 
      membuat sarang dan menghasilkan 
      madu yang berkhasiat tanpa sebarang 
      gangguan.

Pokok Meranti
➡️ Berketinggian 30 - 70 meter dengan 
      batang yang lurus dan bulat.
➡️ Kulitnya sekiranya dibakar akan 
      mengeluarkan bau seperti kemenyan.
➡️ Resin/damar dahulunya digunakan 
      untuk menampal lubang atau rekahan 
      di perahu.
➡️ Kini, digunakan dalam pembuatan cat, 
      varnis, lakuer, pengilat, kosmetik, 
      farmaseutikal dan industri pergigian 
      serta linoleum.

Pokok buah berangan
➡️ Pokoknya besar dan tinggi tetapi 
      buahnya bermusim.
➡️ Tergolong dalam keluarga sama       
      dengan oak dan mengandungi banyak 
      tanin beracun yang menjadikan 
      kayunya sangat baik dan tahan lama.
➡️ Kandungan tanin yang terdapat di 
      dalamnya mampu menghakis besi 
      secara perlahan-lahan.
➡️ Tanin juga digunakan dalam proses 
       penyamakan kulit.

Pokok nibong
➡️ Batangnya lurus dan mempunyai duri-
      duri keras dan panjang yang berwarna 
      hitam. Daunnya juga berduri.
➡️ Ketinggiannya hanya mampu 
      mencecah 30m.
➡️ Kayu nibong sesuai dibuat lantai 
      rumah kerana bersifat rata dan lincin.
➡️ Selain itu, kayunya juga boleh dibuat 
      tiang jeti atau kelong kerana
      mempunyai daya tahan terhadap air 
      masin.

b) Pelbagai jenis pokok seperti rotan, 
     buluh, orkid liar, pokok-pokok 
     tumpang dan lain-lain

c) Pelbagai jenis rama-rama

d) Berbagai spesis burung

e) Berbagai jenis unggas dan serangga

f) Ular, katak, lutong, kera, monyet



Tarikan dan aktiviti lain yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Sedim selain daripada titian kanopi ialah :

Mendaki
Di Tree Top Walk juga ada laluan untuk pendakian ke Gunung Bintang setinggi 1,862 meter melalui Lata Riau. Jarak menuju ke laluan itu adalah sepanjang 14.2 kilometer dan sangat mencabar.

Rakit Redah Jeram ( White Water Rafting )
Keadaan Sungai Sedim yang curam dan bergelora menawarkan pengalaman redah jeram paling mencabar bagi mereka yang menggemari aktiviti sukan air.

Abseiling dan Paint-Balling
Selain aktiviti mendekati hutan, di sini juga anda dapat menambahkan lagi keseronokan dengan aktiviti seperti abseiling, paint-ball, memancing dan berkhemah.


Penginapan

Bintang Sedim Villa
( Chalet penginapan di dalam kawasan  
   Tree Top Walk Sungai Sedim )

Sungai Sedim Resort
( Resort di dalam kawasan Rekreasi arus 
  deras Sungai Sedim )

Sedim eco theme park and resort
( Kampung Sungai Buluh, Sungai Sedim )
➡️ Juga dikenali sebagai Sedim Eco 
      Resort  menyediakan kemudahan 
      chalet, dewan serbaguna, dewan 
      makan, tapak perkhemahan dan 
      kawasan aktiviti.

Sedim Vista Homestay & Resort
( Terletak di Kampong Sungai Buloh, 
   Sungai Sedim, Kedah )

Lata Sedim De Teruna Forest Resort
( Terletak berhampiran kawasan Rekreasi 
   arus deras Sungai Sedim )


Terdapat 10 titian kanopi di Malaysia :

1. Tree Top Walk Sungai Sedim
    ( Panjang : 925m ; Tinggi : 26m )

2. Taman Negara
    ( Panjang : 530m ; Tinggi : 50m )

3. Taman Negara Mulu
   ( Panjang : 480m ; Tinggi : 25m )

4. Lembah Danum, Sabah
   ( Panjang : 300m ; Tinggi : 26m )

5. Taman Negara Pulau Pinang
   ( Panjang : 250m; Tinggi : 15m )

6. Bukit Gemok, Tawau
   ( Panjang : 231m ; Tinggi : 26m )

7. Taman Eko Rimba KL
   ( Panjang : 200m ; Tinggi : 15m )

8. Poring, Sabah
   ( Panjang : 175m ; Tinggi : 43m )

9. FRIM, Selangor
   ( Panjang : 150m ; Tinggi : 30m )

10. Rainforest Discovery Centre, Sabah  
     ( Panjang : 147m ; Tinggi : 28m )


          Untuk pengetahuan semua Tree Top Walk dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Bayaran masuk ialah sebanyak RM10 untuk orang dewasa dan RM6 untuk mereka bawah 17 tahun. Anda boleh memakai sandal atau sepatu yang sesuai untuk berjalan jauh dan perlu membawa minuman serta sedikit makanan ringan kerana perlu merentas hutan melewati sebatang jalan untuk sampai ke Tree Top Walk ini.

Peringatan : 
Masa operasi adalah mengikut cuaca pada hari berkenaan. Jika pada hari berkenaan berlaku hujan dan angin kencang, operasi akan ditutup atas faktor keselamatan pengunjung. Bagi sesiapa yang ingin berkunjung ke sini anda dinasihatkan agar menelefon terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan cuaca di sana. Ini kerana keadaan cuaca dibahagian atas dan bawah adalah berbeza meskipun berada di tempat yang sama.
Bagi anda yang mempunyai anak kecil, anda tidak perlu risau kerana laluan Tree Top Walk adalah diperbuat dari jaring besi. Jadi anda boleh menggunakan stroller kecil untuk membawa anak kecil anda. Ketika berada di sungai Sedim, pastikan anak-anak anda berada di bawah pengawasan yang maksimum. Jangan biarkan anak-anak anda bermain sendirian.Keadaan ini, boleh membahayakan keselamatan mereka.
Tolong jaga kebersihan tempat tersebut.
Buanglah sampah di tempat yang di sediakan. Kerana bukan pelancong tempatan saja yang mengunjungi tempat ini tetapi juga pelancong dari luar negara.Jika kebersihan tidak di jaga, dibimbangi juga ianya akan mengundang persepsi yang buruk terhadap tempat tersebut, bahkan nama Malaysia juga turut tercemar.
Jika anda hendak berkelah bersama keluarga dan ingin menggunakan bahan api ketika memasak. Anda dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku sebarang kebakaran yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada hutan tersebut.Pastikan arang kayu dan sampah dibuang ke tempat yang sepatutnya bukan ditinggalkan begitu saja atau dibuang ke dalam  sungai.

Tolong jangan melakukan sebarang aktiviti berbahaya ketika berada di sini. Sebagai contoh, anda ingin melakukan terjunan dari atas jambatan ke dalam sungai sedim. Keadaan ini, boleh mengakibatkan kecederaan bukan sahaja kepada diri anda sendiri bahkan juga pengunjung lain yang sedang mandi-manda turut menerima akibatnya.Ini kerana, di bawah jambatan tersebut terdapat beberapa buah bongkah batu besar ditambah dengan arus sungai yang deras mampu menyebabkan kecederaan yang serius.