Ya Allah aku amat bersyukur dengan ujian yang telah engkau timpakan kepada diriku ini. Ujian ini walaupun kecil tetapi ia amat signifikan bagi diriku yang kerdil ini. Walaupun ujian ini nampak kecil, namun ia boleh meruntun hati setiap jiwa yang pernah melaluinya. Ujian ini bukan saja memaparkan penggantungan antara seorang hamba dengan penciptanya tetapi juga ia menguji kesabaran, ketabahan,
kekuatan mental, cara penyelesaian, dan bagaimana kita mengendalikan sesebuah masalah.
Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak akan menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang
bermaksud : “Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.
bermaksud : “Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.
Oleh itu, sekiranya kita berhadapan dengan masalah cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. Allah juga berfirman yang bermaksud dalam surah at-Taubah ayat 111 : “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka."
Alhamdulillah dengan adanya ujian ini aku dapat berlajar tentang erti sebuah kesabaran dalam kehidupan yang bakal aku lalui di suatu saat nanti. Ujian ini juga memperlihatkan keikhlasan hati insan-insan yang telah banyak memberi dan melontarkan kepadaku pandangan-pandangan yang bernas. Sehubungan dengan itu, aku sangat berterima kasih dan bersyukur dengan pertolongan Allah sebab telah menitipkan insan-insan ini untuk merungkaikan segala permasalahan yang aku hadapi selain daripada pertunjuk-Nya.
Jalan yang terbaik untuk kita menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi adalah dengan cara kita menghadapinya.Jika sekiranya kita enggan atau takut melaluinya dibimbangkan masalah itu akan menjadi bertambah kusut dan ini akan menyukarkan kita untuk merungkai segala permasalahan yang kita hadapi. Perkara ini juga akan menyebabkan diri kita berada dalam keadaan tertekan dan akan menyebabkan masalah yang kecil pada mulanya menjadi bertambah besar dan rumit. Buangkan sifat ego yang bersarang dalam hati kita jika masalah yang kita hadapi ini berkaitan dengan perhubungan antara dua insan. Ini kerana jika kita terlalu mementingkan diri dan bersifat ego serta tidak mahu bertolak ansur dan hanya mahu mengikut telunjuk diri sendiri penyelesaian masalah itu tidak akan pernah wujud. Malah ia akan berhadapan dengan situasi yang lebih tegang.
Satu yang aku pinta kepada pembaca artikel yang aku tulis ini adalah jika kita menghadapi sesuatu masalah kita hadapilah ia dengan sabar, tabah, tenang dan redha. Kerana ini semua adalah ketentuan dari Allah untuk menguji keimanan dan ketakwaan diri kita kepadanya. Janganlah kita menyalahkan takdir atau tidak redha dengan segala ketentuan Allah. Kita sebagai hambanya sememangnya layak untuk diuji.
Sekiranya kita menyalahkan takdir Allah ia boleh membatalkan Iman kita sebab ia juga terkandung dalam rukun Iman yang ke-6 iaitu percaya kepada Qada dan Qadar Allah.
Firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 35 : "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
Kesimpulan yang dapat aku simpulkan di sini ialah setiap ujian yang datang juga adalah tandanya Allah sayangkan kepada diri kita. Jadi ambillah masa untuk kita menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan yang datang dari Allah pasti ada hikmah yang tersendiri. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan