Sabtu, 28 Mei 2022

Tree Top Walk Sungai Sedim

Hutan Lipur Sungai Sedim

Hutan Lipur Sungai Sedim terletak 33km dari Bandar Kulim dan 130km dari Bandaraya Alor Setar.

✔ Sungai Sedim sepanjang 15km adalah sungai berarus deras dan mempunyai beberapa buah jeram yang sesuai untuk aktiviti berkayak.

✔ Sungai Sedim mempunyai 8 anak sungai iaitu Sungai Reyau, Sungai Merbok, Sungai tebuan, Sungai Karangan, Sungai Terona, Sungai Bekui, Sungai Bikan dan Sungai Buloh.

✔ Hutan lipur ini sinonim sebagai tapak perkelahan Di Raja Kedah. Di sini juga kerap berlangsungnya pertandingan kayak arus deras diperingkat antarabangsa.


Tree Top Walk

         Tree Top Walk atau jambatan konopi di Sungai Sedim, Kulim, Kedah pernah merekodkan  sebagai laluan kanopi terpanjang di dunia sebelum rekod tersebut diambil alih oleh Bavarian Forest National Park ( Nationalpark Bayerischer Wald ) sepanjang 1,250 meter yang terletak di bahagian timur Bavaria di daerah Regen dan Freyung-Grafenau, Jerman.

          Laluan sepanjang 950m ini, berada dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Inas. Ketika meniti di laluan ini, anda akan melihat panorama yang sangat mengasyikan mata memandang di samping bunyi ugas sahut-bersahutan terus membuatkan penulis melupakan tekanan kerja buat seketika. Untuk pengetahuan semua, Gunung Inas mempunyai ketinggian setinggi 1,801 meter.

         Pembinaan jambatan kanopi ini mengambil masa selama 14 bulan dan siap dibina sepenuhnya pada bulan Mac 2005. Struktur pembinaannya berbentuk segiempat tepat dan dibuat sepenuhnya dengan mengunakan keluli logam yang tahan karat serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Berat keseluruhannya mencecah 422,214 kilogram. 

           Walaupun titian ini diperbuat daripada besi keluli yang kukuh, namun begitu pengunjung masih boleh merasai keadaan bergoyang seperti titian konopi yang biasa. Oleh itu, pengunjung tidak perlu risau dengan faktor keselamatan kerana titian ini tidak akan roboh atau rosak. Hanya 10 orang dibenarkan berada di antara satu satu stesen walaupun jambatan gantung ini mampu menampung lebih daripada itu. Semua ini dilakukan untuk menjaga keselamatan pengunjung dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

          Semakin jauh dari stesen yang pengunjung pergi, akan bertambah aras ketinggian jambatan berkenaan.Kemuncak yang paling tinggi ialah 26.5m dari lantai hutan.





Antara yang menarik boleh diperhatikan sepanjang laluan ini ialah :

a) Pelbagai spesies pokok hutan

Pokok Tualang
➡️ Pokok tualang merupakan spesies 
      pokok hutan hujan tropika dalam 
      keluarga Fabaceae.
➡️ Merupakan salah satu spesies pokok 
      tropika tertinggi ( 88m tinggi / 289kaki)
➡️ Ketinggiannya membolehkan lebah 
      membuat sarang dan menghasilkan 
      madu yang berkhasiat tanpa sebarang 
      gangguan.

Pokok Meranti
➡️ Berketinggian 30 - 70 meter dengan 
      batang yang lurus dan bulat.
➡️ Kulitnya sekiranya dibakar akan 
      mengeluarkan bau seperti kemenyan.
➡️ Resin/damar dahulunya digunakan 
      untuk menampal lubang atau rekahan 
      di perahu.
➡️ Kini, digunakan dalam pembuatan cat, 
      varnis, lakuer, pengilat, kosmetik, 
      farmaseutikal dan industri pergigian 
      serta linoleum.

Pokok buah berangan
➡️ Pokoknya besar dan tinggi tetapi 
      buahnya bermusim.
➡️ Tergolong dalam keluarga sama       
      dengan oak dan mengandungi banyak 
      tanin beracun yang menjadikan 
      kayunya sangat baik dan tahan lama.
➡️ Kandungan tanin yang terdapat di 
      dalamnya mampu menghakis besi 
      secara perlahan-lahan.
➡️ Tanin juga digunakan dalam proses 
       penyamakan kulit.

Pokok nibong
➡️ Batangnya lurus dan mempunyai duri-
      duri keras dan panjang yang berwarna 
      hitam. Daunnya juga berduri.
➡️ Ketinggiannya hanya mampu 
      mencecah 30m.
➡️ Kayu nibong sesuai dibuat lantai 
      rumah kerana bersifat rata dan lincin.
➡️ Selain itu, kayunya juga boleh dibuat 
      tiang jeti atau kelong kerana
      mempunyai daya tahan terhadap air 
      masin.

b) Pelbagai jenis pokok seperti rotan, 
     buluh, orkid liar, pokok-pokok 
     tumpang dan lain-lain

c) Pelbagai jenis rama-rama

d) Berbagai spesis burung

e) Berbagai jenis unggas dan serangga

f) Ular, katak, lutong, kera, monyet



Tarikan dan aktiviti lain yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Sedim selain daripada titian kanopi ialah :

Mendaki
Di Tree Top Walk juga ada laluan untuk pendakian ke Gunung Bintang setinggi 1,862 meter melalui Lata Riau. Jarak menuju ke laluan itu adalah sepanjang 14.2 kilometer dan sangat mencabar.

Rakit Redah Jeram ( White Water Rafting )
Keadaan Sungai Sedim yang curam dan bergelora menawarkan pengalaman redah jeram paling mencabar bagi mereka yang menggemari aktiviti sukan air.

Abseiling dan Paint-Balling
Selain aktiviti mendekati hutan, di sini juga anda dapat menambahkan lagi keseronokan dengan aktiviti seperti abseiling, paint-ball, memancing dan berkhemah.


Penginapan

Bintang Sedim Villa
( Chalet penginapan di dalam kawasan  
   Tree Top Walk Sungai Sedim )

Sungai Sedim Resort
( Resort di dalam kawasan Rekreasi arus 
  deras Sungai Sedim )

Sedim eco theme park and resort
( Kampung Sungai Buluh, Sungai Sedim )
➡️ Juga dikenali sebagai Sedim Eco 
      Resort  menyediakan kemudahan 
      chalet, dewan serbaguna, dewan 
      makan, tapak perkhemahan dan 
      kawasan aktiviti.

Sedim Vista Homestay & Resort
( Terletak di Kampong Sungai Buloh, 
   Sungai Sedim, Kedah )

Lata Sedim De Teruna Forest Resort
( Terletak berhampiran kawasan Rekreasi 
   arus deras Sungai Sedim )


Terdapat 10 titian kanopi di Malaysia :

1. Tree Top Walk Sungai Sedim
    ( Panjang : 925m ; Tinggi : 26m )

2. Taman Negara
    ( Panjang : 530m ; Tinggi : 50m )

3. Taman Negara Mulu
   ( Panjang : 480m ; Tinggi : 25m )

4. Lembah Danum, Sabah
   ( Panjang : 300m ; Tinggi : 26m )

5. Taman Negara Pulau Pinang
   ( Panjang : 250m; Tinggi : 15m )

6. Bukit Gemok, Tawau
   ( Panjang : 231m ; Tinggi : 26m )

7. Taman Eko Rimba KL
   ( Panjang : 200m ; Tinggi : 15m )

8. Poring, Sabah
   ( Panjang : 175m ; Tinggi : 43m )

9. FRIM, Selangor
   ( Panjang : 150m ; Tinggi : 30m )

10. Rainforest Discovery Centre, Sabah  
     ( Panjang : 147m ; Tinggi : 28m )


          Untuk pengetahuan semua Tree Top Walk dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Bayaran masuk ialah sebanyak RM10 untuk orang dewasa dan RM6 untuk mereka bawah 17 tahun. Anda boleh memakai sandal atau sepatu yang sesuai untuk berjalan jauh dan perlu membawa minuman serta sedikit makanan ringan kerana perlu merentas hutan melewati sebatang jalan untuk sampai ke Tree Top Walk ini.

Peringatan : 
Masa operasi adalah mengikut cuaca pada hari berkenaan. Jika pada hari berkenaan berlaku hujan dan angin kencang, operasi akan ditutup atas faktor keselamatan pengunjung. Bagi sesiapa yang ingin berkunjung ke sini anda dinasihatkan agar menelefon terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan cuaca di sana. Ini kerana keadaan cuaca dibahagian atas dan bawah adalah berbeza meskipun berada di tempat yang sama.
Bagi anda yang mempunyai anak kecil, anda tidak perlu risau kerana laluan Tree Top Walk adalah diperbuat dari jaring besi. Jadi anda boleh menggunakan stroller kecil untuk membawa anak kecil anda. Ketika berada di sungai Sedim, pastikan anak-anak anda berada di bawah pengawasan yang maksimum. Jangan biarkan anak-anak anda bermain sendirian.Keadaan ini, boleh membahayakan keselamatan mereka.
Tolong jaga kebersihan tempat tersebut.
Buanglah sampah di tempat yang di sediakan. Kerana bukan pelancong tempatan saja yang mengunjungi tempat ini tetapi juga pelancong dari luar negara.Jika kebersihan tidak di jaga, dibimbangi juga ianya akan mengundang persepsi yang buruk terhadap tempat tersebut, bahkan nama Malaysia juga turut tercemar.
Jika anda hendak berkelah bersama keluarga dan ingin menggunakan bahan api ketika memasak. Anda dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku sebarang kebakaran yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada hutan tersebut.Pastikan arang kayu dan sampah dibuang ke tempat yang sepatutnya bukan ditinggalkan begitu saja atau dibuang ke dalam  sungai.

Tolong jangan melakukan sebarang aktiviti berbahaya ketika berada di sini. Sebagai contoh, anda ingin melakukan terjunan dari atas jambatan ke dalam sungai sedim. Keadaan ini, boleh mengakibatkan kecederaan bukan sahaja kepada diri anda sendiri bahkan juga pengunjung lain yang sedang mandi-manda turut menerima akibatnya.Ini kerana, di bawah jambatan tersebut terdapat beberapa buah bongkah batu besar ditambah dengan arus sungai yang deras mampu menyebabkan kecederaan yang serius.

Jumaat, 20 Mei 2022

Istidraj

Apakah dia istidraj itu?


Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya dan kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku sebagai wakil Tuhan dengan mengemukakan berbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya.

Al Istidraj mempunyai beberapa nama atau istilah yang berbagai:

1. Adakalanya seseorang dikabulkan segala permintaannya agar ia makin bertambah ingkar dan sesat, tetapi pada akhirnya ia akan dimatikan dalam keadaan kafir.
Hal itu seperti yang disebutkan dalam firman Allah: “Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui”. (Al-Qalam :44)

2. Makar:
Dalam Al Qur’an disebutkan: “Maka tidak ada yang terhindar dari tipu daya Allah kecuali orang yang rugi”. (Al-‘Araf: 99)

Allah berfirman: “Dan mereka berbuat tipu daya, maka Allah membalas mereka dengan tipu daya yang serupa dan Dia sebaik-baik yang membuat balasan” (Ali ‘Imran: 54)

3. Al Kaid artinya tipu daya:
Dalam firman Allah disebutkan: “Mereka berusaha menipu Allah, padahal Allah yang menipu mereka” (An-Nisaa’:142)
Allah berfirman: “Mereka akan menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri, tetapi mereka tidak merasakannya”. (Al-Baqarah: 9)

4. Imla’ mempunyai arti memberi tangguh:
Firman Allah: “Dan janganlah orang-orang kafir itu mengira bahawa pemberian tangguh bagi mereka itu memberi kebaikan bagi mereka, tetapi hal itu terjadi agar mereka makin bertambah dosa-dosanya” (Ali ‘Imran: 178)

5. Al Ihlak mempunyai arti kebinasaan:
Allah berfirman: “Sampai ketika mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, maka Kami siksa mereka dengan cara yang mendadak” (Al-‘Anaam: 44)
Allah berfirman: “Firaun dan bala tentaranya menyombongkan diri di permukaan bumi tanpa alasan yang dibenarkan, dan mereka mengira bahwa mereka tidak akan kembali kepada Kami, maka Kami menyiksanya dan bala tentaranya, kemudian Kami menenggelamkan mereka di dalam laut” (Al-Qisas: 33)

Rasullulah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!

Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.

Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.