Sabtu, 24 Ogos 2019

Dialek Selatan Kedah

Perkataan 'dialek' berasal daripada bahasa Yunani iaitu 'dialektos' ( διάλεκτος ) yang membawa maksud "bahasa" atau
"perbualan".Dialek ialah suatu kelainan daripada bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat.Dialek mempunyai bentuk tertentu,dituturkan di kawasan tertentu dan mempunyai perbezaan daripada bentuk yang standard atau baku dari segi sebutan, tatabahasa, dan penggunaan
kata-kata tertentu tetapi perbezaannya tidaklah begitu ketara yang membolehkannya dianggap sebagai suatu bahasa baru.

         Terdapat pelbagai faktor yang dapat mewujudkan dialek iaitu, dari segi geografi, politik, penjajahan, perdagangan, masa, dan sebagainya.Sebagai contoh, misalnya dari segi politk telah menyebabkan negara ini dibahagikan kepada unit-unit politik yang lebih kecil sehingga mewujudkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak akhirnya mewujudkan pelbagai variasi dialek.

         Bahasa Melayu Kedah atau lebih dikenali sebagai loghat utara adalah merupakan salah satu dialek yang dituturkan di Malaysia khususnya di Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak
( daerah kerian & larut matang ).Selain itu, dialek Kedah juga turut dituturkan di Wilayah Selatan Thailand iaitu Satun dan Trang, di Wilayah Selatan Myanmar iaitu Tanintharyi atau Tanah Sari dan di sebuah daerah di Utara Sumatera Indonesia iaitu Langkat.

        Penutur dialek Kedah ini dianggarkan sekitar 4 juta orang dengan 3.1 juta orang adalah penutur asli dan selebihnya menggunakan dialek Kedah sebagai bahasa kedua.


1) Timba — Baldi
Contoh ayat : " Yang hang buat main timba ni pasai pa! Sat ning pecah nak ceboq ayaq lagu mana, ? " marah Karim kepada anaknya.

2) Telaga — Perigi
Contoh ayat : "La pasai pa ang tak bawak mai timba ? Kan aku dah kata tadi kat qhumah kat sini tak dak phancoq ada telaga saja.Abis tu kita nak mandi dan buang ayaq nanti lagu mana ?" Soal Ismail kepada sahabatnya Safuan.

3) Terebit — Keluar ( lebih kepada percakapan yang dituturkan ).
Contoh ayat : " Ang cakap jangan dok terebit dari mulut ja.Pikiaq la hati orang lain sama!, " 
beritahu Sulaiman kepada Hashim.

4) Segheyau — Bimbang
Contoh ayat : " Segheyau eh, jalan dah kecik.Nanti tak pasai-pasai reta aku masuk parit, " omel Razak sendirian.

5) Pelam — Mangga
Contoh ayat : " Kak! pelam ni sekilo beqhapa? " Soal Amir.
" Hat lunggok ni ka! kalau hat lunggok tu RM 12 sepingan," balas Kak jah.

6) Panggu — Bahagian
Contoh ayat : " La ni aku dah bagi semua panggu hampa.Lepaih ni aku tak mau dengaq lagi hampa cakap benda ni depan aku, " jelas Azlan kepada pekerjanya.

7) Merela  — Gatai
Contoh ayat : " Amboi! merelanya hang! "
Laki orang pun hang nak try ka ?" beritahu Zainab kepada Julia.

8) Lohoq — Zohor
Contoh ayat : "Ni, lepas lohoq nanti sila la mai qhumah, kami ada buat makan-makan sikit, " beritahu Pak Omar kepada Pak Dollah.

9) Ketayap — Kepiah
Contoh ayat : " Mana pi ketayap aku ? Kelmarin aku letak tang sini.Tak kan orang lain pakai kot, " soal Said sendirian.

10) Tirih — Bocor
Contoh ayat : "Sarah!, ang pi tahan timba tak lagi ? Bumbung tang dapuq tu tirih.Sat ning melimpah ayaq pi merata pulak, " jelas Zaimah kepada anaknya Sarah.

11) Teghandaih — Terhantuk
Contoh ayat : " Ni awat tangan hang berbalut, ?" tanya Yusri inginkan kepastian.
" Oh! ni ka, tangan aku teghandaih kat pokok kelmarin masa aku nak mengelak bewak melintaih, " balas Rahman.

12) Cemerkap — Tidak cermat
Contoh ayat : " Hang ni aku pukui percuma ja eh ! Cemerkap sungguh.Aku bagi hang pinjam motor aku, balik-balik aku nak naik tiba-tiba tak boleh nak start.Hang buat apa,! " marah Kamal kepada anaknya.

13) Ghunaih — Cungkil, kupil
Contoh ayat : " Yang hang pi ghunaih qhupin tu pasai pa ? Sat gi lambat la nak baik luka tu, " soal Zamri kepada Kamil.


14) Raba — Pemadam
Contoh ayat : " Man!, mai raba sat.Aku nak padam garisan ni, " pinta Solihin kepada Razman.

15) Besaq gajah  — Sudah dewasa
Contoh ayat : " La! besaq gajah pun takut lagi ka, ?" beritahu Pak Hamid kepada anaknya.

16) Hinggut — Goyang
Contoh ayat : " Awat la yang hang gatai pi hinggut pokok moktan tu, tengok habis luruh daun dia.Baru tat sat aku sapu.Penat la lagu ni, " kata Wan Jamilah kepada Seri.

17) Melewaq — Merayau, melilau
Contoh ayat : " Ni baru la ang ingat nak balik qhumah.Hari-hari dok melewaq merata ang buat apa! " bentak Nasir kepada anaknya Muzamir.

18) Gon — Bonggol
Contoh ayat : " Pasai pa la hang pi langgaq gon tu ? Nasib baik tau kita tak jatoh motor tadi, " soal Farid kepada Syukri.

19) Toksah — Tidak payah
Contoh ayat : " Hang toksah dok nak buat baik la dengan aku.Aku tau niat ang lagu mana!, " marah Iskandar kepada Syahrul.

20) Cabai — Cili
Contoh ayat : " La ni harga cabai pun dok pulan naik dah.Sekilo depa kata dah dekat RM 30.00, " beritahu Zulaikha kepada Maznah.

21) Ketit — Digigit serangga
Contoh ayat : " Aduih banyak sungguh rengga tang sini.Habis dia ketit kaki aku.Tang mana dia mai pun aku tak tau la, " soal Fadhli kebingungan.

22) Hari senayan — Hari isnin
Contoh ayat : " Yang kata hang nak pi Mekkah tu hari apa ?" soal Zulhelmi.
Hari senayan nak mai ni kami berangkat pi mekkah, " balas Firdaus.

23) Manis melecaih — Sangat manis
Contoh ayat : " Tudia eh! awat la manis melecaih sangat ayaq ni? Nak bagi aku dapat kencing manis ka, " runggut Pak Salleh kepada pemilik warung.

24) Tawaq hebiaq — Terlalu tawar
Contoh ayat : " Pasai pa la gulai ang ni tawaq hebiaq sangat ? Hang tak boh garam sikit ka, Milah! ? " tanya Faridah kepada anaknya Milah.

25) Pait bedengung — Terlalu pahit
Contoh ayat : " Tudia eh! pait bedengung ayaq kopi hang.Hang tak letak gula sikit ka? Kalau lagu ni lagu mana aku nak minum, " soal Pak Yakkob kepada Bidin.

26) Kepak — Mematahkan sesuatu yang keras dengan tangan.
Contoh ayat : " Yang hang gatai pi kepak kayu ron tu pasai pa ? Sat ning kalau aku nak ron qhetas tu lagu mana.Tak dak reja sungguh la!, " marah Hanifah kepada rakan sekerjanya Kamal.

27) Melengung — Termenung
Contoh ayat : " Din! yang ang dok melengung sorang-sorang pasai pa ? Tak payah la dok teringat benda lama, " tanya Ahmad kepada Hafizuddin.

28) Seqhelum — Pakai
Contoh ayat : " Yang ang pi seqhelum kasut orang lain tu pasai pa ? " Soal Zainuddin kehairanan sambil melihat adiknya Muhymeen.

29) Mengai — Memancing
Contoh ayat : " Din! petang ni jom pi mengai hang mau dak,? " tanya Yahya kepada Samsuddin.

30) Lecah — Air bertakung dalam lopak 
Contoh ayat : " Ni yang malas kata aku nak mai ni.Em! lecah la pulak jalan ni.Tak kan nak randok kot, ? " soal Mahali sendirian.

31) Juruih — Siram air
Contoh ayat : " Bok mai timba sat, mak nak jiruih pokok ni, " pinta mak leha kepada anaknya.

32) Ghenjong — Panjang
Contoh ayat : " Tu anak sapa yang had ghenjong tu.Tak pernah aku tengok pun sebelum ni, " soal Pak Kasim.
" Oh! yang tu anak Lebai Manan.Salmiah namanya.Budak tu baqhu habis mengaji kat USM, " jelas Haji Mustafa.

33) Beghalah — Minta diri
Contoh ayat : " Saya beghalah dulu Mak        Som.Nak memanggei kat ghumah Pak Ngah Manan pulak, " kata Lokman kepada Mak Som.

34) Anak menakan —  Anak saudara/anak 
                                           buah
Contoh ayat : " Hadiah apa yang patut aku beli kat anak menakan aku ni ha, " getus Sofia sendirian.

34) Geghit — Menggunakan gigi yang kecil  untuk mengigit sesuatu.Biasanya ia  merujuk kepada haiwan kecil seperti tikus,tupai atau lipas.
Contoh ayat : " Em habis dia geghit baju 
yang aku baru beli hari tu, " runggut Haida.

35) Seneqhai — Sebaris
Contoh ayat : " Ni hat seneqhai ni sama ka harga dengan yang hat tu tadi, " soal Jamilah.
" Tak sama kak.Yang ni ( kain ) mahai sikit dari hat tu pasai dia patten baru, " jelas penjual kain.

36) Karan — Letrik
Contoh ayat : " La bila nak ada karan ni.Bola dah nak start dah.Pakai tak dan la aku nak tengok.Final pulak tu Kedah lawan Perak, " soal Azli sendirian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan