Malaysia seharusnya berbangga kerana memiliki seorang pemain wanita yang berbakat dan bermain dengan pasukan ternama dunia seperti FC Bayern Munich. Bukan calang-calang pemain yang mampu bermain bersama pasukan tersebut. Namun, pemilik nama Celine Chuang berjaya membuktikannya dengan melakar sejarah apabila menjadi pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi bersama kelab gergasi bola sepak Jerman, FC Bayern Munich.
Pemain yang baru menginjak usia 15 tahun itu, beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich. Celine Chuang yang menyarung Jersey FC Bayern Munich pada Julai tahun lalu tidak menjadikan faktor jantinanya sebagai batu penghalang untuknya beraksi di atas padang. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa wanita sepertinya juga mampu bersaing dalam sukan bola sepak yang kebiasaannya didominasi oleh kaum lelaki.
Apa yang mendorong minatnya untuk menceburkan diri dalam bidang sukan bola sepak ialah ketika menyaksikan sendiri aksi kakak serta abangnya di atas padang. Beliau
mula bermain secara serius ketika berusia 11 tahun bersama Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang. Menurutnya lagi, faktor yang menyebabkan beliau jatuh hati pada sukan bola sepak ialah beliau dapat mempelajari teknik baru disamping dapat mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan dengan tekanan.
Dengan keazaman yang tinggi beliau nekad untuk berhijrah ke Thailand bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket,Thailand selama dua tahun. Di sini, beliau menjalani latihan setiap minggu di bawah metodologi Cruzeiro secara lebih mendalam dan komprehensif.
Celine kini berhijrah ke Munich, Jerman bersama keluarganya turut berkongsi minat sukannya itu bersama abangnya di sana. Bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab itu pada Februari lalu.
Menurut pemain sayap lincah skuad B-15 negara ini, beliau berasa sangat bersyukur apabila dipilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich dan telah menjalani latihan dan beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker München e.V.
Nama beliau mula mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman selepas berjaya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki bawah 15 tahun FC Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua bawah 17 tahun FC Bayern Munich.
Celine sebelum ini telah mengutip gol antarabangsanya yang pertama bersama skuad bawah 15 tahun wanita Harimau Malaya pada aksi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita bawah 15 tahun 2019 selepas skuad negara menewaskan Kemboja 2-1 di Chonburi, Thailand.
Celine turut berkongsi pengalamannya selama empat bulan berlatih di Jerman. Menurutnya, dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam keadaan cuaca sejuk ketika menjalani latihan dan juga dari segi perbezaan bahasa.
Menurut Celine lagi, belau mempunyai cita-cita yang sama seperti abangnya, iaitu berkeinginan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Jerman selain mengimpikan masa depan yang cerah.
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, masyarakat di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan saya sejak dari awal. Hal inilah membuatkan saya dapat menyesuaikan diri sejak tiba dan menetap di Jerman pada Jun tahun lalu. Saya kini menjalani latihan dalam talian selepas pertandingan dan liga dibatalkan akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan